Lawatan Kerja: Sasar Lebih Banyak Industri Berada Dalam Kampus, Kongsi Kepakaran – Zambry

KUALA LUMPUR, 22 Jan – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menyasarkan untuk memperbanyak industri berada dalam kampus universiti bagi tujuan berkongsi kepakaran, teknologi dan penyelidikan terkini.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau memaklumkan bahawa banyak syarikat terkemuka mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membincangkan pelaburan sedia ada dan baharu di Malaysia ketika Sidang Kemuncak Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025 di Switzerland.

“Di Sidang Kemuncak Tahunan WEF 2025, Davos, Switzerland, ramai kapten industri besar dunia dan pemimpin utama negara-negara hadir di sini.

“Mengambil peluang ini, banyak syarikat terkemuka mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri untuk membincangkan peluang pelaburan sedia ada dan baharu di Malaysia. Antaranya ialah AstraZeneca, Fortescue, DP World, Nestle, Medtronics dan Google,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berharap agar kerjasama bersama industri-industri besar ini mampu meningkatkan mutu pendidikan tinggi negara dalam pelbagai bidang seiring peredaran zaman.

“Selain daripada peluang pelaburan, bagi pendidikan tinggi inilah masanya juga untuk kita mengajak lebih banyak industri berada dalam kampus universiti seperti yang terkandung dalam ucapan perutusan awal tahun 2025 saya baru-baru ini.

“Tujuannya adalah untuk kita berkongsi kepakaran, teknologi, penyelidikan terkini antara industri dengan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT). Contohnya, kita telah pun ada kerjasama antara IPT Malaysia dengan Google melalui aplikasi terkini, AI dan juga Program Google Career Certificate.

“Semoga industri besar ini semua dapat berkolaborasi bagi meningkatkan mutu pendidikan tinggi negara dalam pelbagai bidang terkini,” katanya lagi.

Pada Ahad media melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama delegasi Malaysia telah tiba di Belgium untuk rangka lawatan kerja selama dua hari dan bertemu pemimpin Kesatuan Eropah (EU).

Turut mengiringi Perdana Menteri dalam lawatan itu ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; serta Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit