Titah Adendum: Pas Cuba Jadi Juara, ‘Menangguk Di Air Keruh’ – Rosni Zahari

KUALA LUMPUR, 21 Jan – Pas dilihat ‘menangguk di air yang keruh’ dan cuba untuk menjadi juara dalam isu Titah Adendum mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib, kata Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Rosni Zahari.

Ujarnya, beliau sebagai seorang pengamal undang-undang telah melihat prosiding mahkamah yang telah berlaku dan dapat dilihat bahawa keputusannya memihak kepada Najib.

“Saya sendiri pun sebagai pengamal undang-undang melihat daripada segi mata kasar sahaja apa yang berlaku semasa prosiding dan hujah oleh peguam Datuk Seri Najib, Tan Sri Datuk Seri Mohamed Shafee Mohamed Abdullah dan hujahan balas pihak pendakwaraya.

“Dapat disimpulkan bahawa apa yang dikatakan oleh hakim… kenapa mereka tidak dapat menjawabkan soalan-soalan yang dikemukakan oleh Tan Sri Datuk Seri Mohamed Shafee semasa prosiding tersebut.

“Namun alhamdulilah, keputusan pada 6 Januari telah memihak kepada Datuk Seri Najib maka kita perlu menunggu prosiding seterusnya pada bulan Mac,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan sempena Majlis Perjumpaan Ketua Penerangan UMNO Malaysia bersama Ketua Penerangan Negeri-Negeri dan Sayap-Sayap pada Isnin.

Menurutnya, Pas telah mengambil kesempatan dan mahu dilihat sebagai juara kepada isu tersebut sedangkan mereka tidak berbuat apa-apa sebelum ini ketika berkuasa untuk membantu Najib.

“Saya berharap agar Ketua-Ketua Penerangan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri daripada negeri-negeri dapat mendengar dengan lebih ‘open minded’ dan menyampaikan perkara ini kepada akar umbi.

“Sekarang ini pihak pembangkang yang cuba menjuarai isu ini. Mereka ini suka ‘menangguk di air yang keruh’.

“Mereka cuba nak menjadi ‘champion’ isu adendum ini dan pembelaan pula kepada Datuk Seri Najib. Walhal, kita yang lebih sayang kepada Datuk Seri Najib, tetapi, sekarang ini dilihat seolah-olah mereka yang memperjuangkan Datuk Seri Najib dan kita kelihatan seperti tidak berbuat apa-apa,” katanya lagi.

Terdahulu, media melaporkan Pas tetap meneruskan penyertaannya dalam Himpunan Solidariti Najib di Istana Kehakiman, Putrajaya pada 6 Januari lalu biarpun titah Seri Paduka Baginda agar menghormati kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong, untuk menggunakan saluran perundangan ditetapkan dengan mengemukakan rayuan dalam perkara dihadapi bekas Perdana Menteri itu.

Dalam hal ini, UMNO mengambil keputusan untuk tidak meneruskan perhimpunan sebagaimana tegas Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bahawa UMNO tidak akan sesekali membelakangi Perlembagaan dan tetap menghormati apa jua peraturan serta undang-undang yang ditetapkan sebagaimana titah Yang di-Pertuan Agong.

Terdahulu media melaporkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berjaya mendapat kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah untuk memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum.

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Azizah Nawawi yang bersidang bersama Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril dengan majoriti 2-1, membenarkan rayuan Najib, 72, untuk mendapatkan kebenaran itu.

Ketika membaca keputusan terbabit, Mohd Firuz berkata, mahkamah memerintahkan supaya kes terbabit diremitkan atau dikembalikan ke Mahkamah Tinggi supaya merit semakan kehakiman ini diputuskan. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit