UMNO Terima Sumbangan Politik Daripada SRC, Bukan Wang Yang Diseleweng – Peguam

KUALA LUMPUR, 21 Jan – Peguambela UMNO Selangor, Datuk Hasnal Rezua Merican mendedahkan bahawa SRC International bersama dua anak syarikatnya telah memfailkan saman sivil terhadap UMNO Malaysia dan UMNO Negeri Selangor.

Menurutnya, UMNO Malaysia didakwa menerima RM16 juta daripda SRC International, manakala UMNO Selangor menerima RM3.5 juta.

“Kita sedang menyoal balas saksi daripada SRC. Pembelaan pihak UMNO Selangor dan Malaysia ialah bahawa wang yang diberikan ini adalah sumbangan politik yang diberikan secara mutlak, tanpa balasan, mutlak dan percuma. Wang tersebut bukan hasil penyelewangan dana daripada SRC.

“Ini sebenarnya saman sivil untuk mendapatkan semula wang tersebut. Namun pihak SRC mendakwa melalui anak-anak syarikat telah memberikan wang ini kepada UMNO Selangor dan UMNO Malaysia sebagai sumbangan politik dan wang ini telah habis dibelanjakan pada awal tahun 2016 dan 2017 lagi.

“Sebenarnya, wang itu dah tiada… ini hanya kerana saman sivil mereka untuk mendapatkan kembali wang tersebut. Kita mengatakan wang itu adalah sumbangan politik tapi mereka mengatakan wang yang dimaksudkan untuk tujuan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) tetapi disalurkan kepada UMNO yang bukan merupakan satu pihak yang menjalankan aktiviti-aktiviti CSR maka wang itu tidak sah diterima,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Mengulas lanjut Hasnal Rezua yang juga Ketua UMNO Bahagian Selayang menjelaskan bahawa sumbangan kepada parti politik juga boleh dikategorikan sebagai sebahagian daripada tanggungjawab CSR.

“Kalau pun sekiranya wang ini adalah untuk tujuan CSR maka pemberian kepada parti politik juga boleh dikategorikan sebagai sumbangan CSR kerana parti-parti politik juga menjalankan aktiviti CSR dan ia tidak terkeluar daripada tujuan asal wang yang diberikan.


Tambah beliau – “Kalau ianya sumbangan politik ia adalah pemberian mutlak dan tidak ada keperluan untuk membayar balik,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit