Pemuda UMNO Santuni Akar Umbi Sabah, Perkukuh Gerak Kerja Depani Politik Baharu

KUALA LUMPUR, 21 Jan – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia berbesar hati menyantuni akar umbi Sabah bagi menyampaikan aspirasi sayap parti dalam mendepani politik baharu.

Bermula pada 18 Januari dan dijangka berakhir pada hari ini ia disertai oleh ketuanya, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh dan barisan kepimpinan Pemuda yang lain.

Jelajah tersebut dimulakan dengan pertemuan dengan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin bagi membincangkan pelbagai isu semasa berkaitan rakyat di negeri ini.

“Hari yang bermakna apabila Dr Akmal Saleh bersama rombongan dan Ketua-Ketua Pemuda Bahagian dari seluruh negeri Sabah berkesempatan mengadakan perjumpaan bersama Datuk Seri Bung.

“Perjumpaan ini menjadi platform penting untuk membincangkan pelbagai isu, termasuk agenda pembangunan negeri, pengukuhan organisasi, dan hala tuju UMNO Sabah dalam memperjuangkan hak serta kebajikan rakyat.

“Melalui sesi ini, hubungan antara kepimpinan pusat dan negeri terus diperkukuhkan dengan matlamat yang sama memastikan Sabah terus maju, stabil, dan sejahtera.

“Semangat kesatuan dan komitmen daripada semua pihak yang hadir jelas menunjukkan usaha berterusan untuk membawa perubahan positif demi manfaat generasi akan datang,” katanya menerusi perkongsian di Facebook Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.

Selepas itu, Dr Akmal Saleh dan rombongan meneruskan siri jelajah ke untuk bertemu dengan jentera Pemuda daripada bahagian Tuaran, Kudat, Ranau, Keningau, Tenom dan Pensiangan bagi memperkukuh gerak kerja Pemuda UMNO dalam persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah kelak.

Menerusi kenyataan yang dikongsikan di Facebook, Pemuda UMNO Malaysia meluahkan kesyukuran kerana dapat mengadakan perbincangan yang penuh semangat dalam kalangan barisan orang muda, membuktikan komitmen untuk memperkukuhkan peranan Pemuda dalam memacu perubahan dan membela nasib rakyat.

Melalui sesi ini, suara serta aspirasi mereka didengar bagi memastikan hala tuju parti terus relevan dan mantap.

Di samping mengharapkan ukhuwah ini terus erat dan memberi manfaat kepada seluruh komuniti untuk melangkah ke hadapan demi Sabah dan negara tercinta. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit