Pas Cuba ‘Test Market’ Isu Calon Perdana Menteri, Meskipun Tahu Belum Layak – Mohd Iskandar
KUALA LUMPUR, 21 Jan – Naib Ketua UMNO Bahagian Setiu, Mohd Iskandar Jaafar menyifatkan kenyataan beberapa pemimpin Pas untuk mengangkat pemimpin daripada parti itu sebagai calon Perdana Menteri seperti percubaan untuk test market.
Menurut beliau ia juga jelas menunjukkan bahawa mereka muflis idea dan hanya mementingkan matlamat untuk mendapatkan jawatan dan kuasa meskipun menyedari belum layak diangkat sebagai Perdana Menteri.
“Kenyataan pimpinan Perikatan Nasional (PN) terutamanya Pas bahawa beberapa pemimpin mereka layak diangkat sebagai Perdana Menteri boleh dianggap sebagai hanya mencuba nilai pasaran atau test market.
“Walaupun sedar mereka sebenarnya belum layak untuk diangkat menjadi pemimpin nombor satu negara tetapi sikap Pas sudah boleh dijangka kerana mereka meletakkan jawatan dan kuasa sebagai matlamat utama perjuangan dengan berlindung di sebalik imej parti berorientasikan Islam,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.
Mohd Iskandar yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi dalam pada itu berkata sebelum bercakap mengenai kelayakan untuk menjadi parti pemerintah utama negara ini, Pas perlu realistik dengan mengambil kira jumlah kerusi yang mampu dimenangi mereka dalam pilihan raya akan datang.
Menurut beliau ini kerana walaupun dengan gabungan bersama PPBM, mereka masih tidak mampu membentuk kerajaan Persekutuan tanpa bantuan parti lain terutama di Malaysia Timur.
“Kekuatan Pas hanya berdasarkan sokongan kawasan majoriti Melayu terutama negeri pantai timur dan utara semenanjung yang dikenali sebagai Malay belt state.
“Mereka perlu melebarkan pengaruh ke negeri-negeri Malaysia Timur seperti Sabah dan Sarawak bagi membolehkan sokongan majoriti mudah berjaya dicapai dalam pilihan raya akan datang,” ujar beliau.
Dalam pada itu, beliau turut berkata sejarah telah membuktikan kekuatan Pas secara individual tidak begitu meyakinkan kerana pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lepas menunjukkan parti itu tidak mampu memenangi banyak kerusi jika bertanding secara solo.
Manakala PPBM kata beliau jelas perlu bergantung kepada Pas untuk bergerak di peringkat akar umbi kerana mereka tidak mempunyai kekuatan jentera, contohnya seperti yang berlaku dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri yang lepas apabila PPBM hanya tinggal nama sahaja apabila semua urusan PRK dikawal oleh Pas.
“Justeru, pilihan yang ada kepada Pas atau PPBM hanyalah membentuk pakatan sesama sendiri untuk mewujudkan kekuatan bagi mendapatkan sokongan majoriti mudah. Sekali lagi timbul persoalan, adakah parti-parti lain yang akan membentuk pakatan ini akan memberi laluan mudah kepada Pas mahupun PPBM menjadi Perdana Menteri jika mereka menang PRU?
“Jawapan kepada persoalan ini mudah diramal kerana realiti dalam PN yang hanya melibatkan dua parti sahaja pun sudah memperlihatkan percanggahan pendapat sesama mereka kerana kepentingan yang berbeza,” katanya lagi.
Mengulas lanjut kata beliau dalam kegigihan kerajaan Madani memperjuangkan untuk pemulihan ekonomi dan menaik taraf hidup rakyat PN lebih memilih untuk memperkatakan soal siapa yang layak memegang kuasa dan jawatan.
“Sepatutnya mereka tampil dengan idea dan cadangan bernas untuk sama-sama menggembleng tenaga bagi memastikan taraf hidup rakyat dapat dipertingkatkan walaupun atas kapasiti mereka sebagai pembangkang pada hari ini,” katanya. – UMNO Online