Mohd Jafni Tegaskan Kerajaan Johor Komited Selesaikan ‘Projek Sakit’
JOHOR BAHRU, 21 Jan – Kerajaan Negeri Johor bersama Kerajaan Persekutuan komited menyelesaikan ‘projek sakit’ sebagaimana perumahan terbengkalai di Taman Koperasi Nelayan Mersing yang telah lama memberi tekanan kepada pembeli.
Exconya, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, menegaskan usaha bersepadu akan dilakukan untuk membela nasib 23 pembeli rumah yang telah menunggu selama tujuh tahun.
“Saya bagi pihak Kerajaan Negeri di bawah urustadbir YAB Dato Onn Hafiz Ghazii akan berusaha semaksimum mungkin dengan pasukan Kerajaan Negeri bagi memastikan urusan ini diselesaikan agar nasib rakyat yang telah menanggung kos berganda kerana membayar duit sewa rumah dan ansuran bulanan rumah yang dibeli sejak tujuh tahun lalu terbela dan mereka boleh segera boleh mendiami rumah mereka,” katanya menerusi hantaran dalam laman Facebooknya berkaitan hal ini.
Ujarnya, penyelesaian projek sakit atau terbengkalai bukan sesuatu yang mudah.
“Penyelesaian projek sakit atau terbengkalai bukanlah mudah, tetapi kami akan berusaha semaksimum mungkin untuk memastikan rakyat dapat mendiami rumah mereka dengan segera. Kerajaan Negeri Johor bersama Kerajaan Persekutuan akan berkerja sebagai satu pasukan komited membantu rakyat, insya-Allah.”
Terangnya, projek ini telah melalui beberapa langkah pemulihan penting iaitu lawatan kerja ke tapak projek dilakukan pada 15 Oktober 2024, diikuti mesyuarat pada 14 November 2024 yang melibatkan Jabatan Perumahan Negara dan pemaju asal dari Mentakab, Pahang dengan isu utama yang dibincangkan adalah sistem perpaipan yang gagal mencapai tekanan 5 bar seperti yang ditetapkan oleh SAJ.
“Pemaju telah memberi komitmen untuk menggantikan semua paip bocor agar mematuhi spesifikasi. Tempoh baik pulih yang ditetapkan hingga 16 Januari 2025 mengalami sedikit kelewatan, namun kerja-kerja kini telah mencapai tahap 80% siap,” katanya.
Jelas Mohd Jafni, dalam usaha mempercepatkan pengeluaran Sijil Siap dan Pematuhan (CCC), pemaju dan kontraktor telah menghantar dokumen pematuhan (Borang G1-G21), kecuali Borang G5 dan G13 yang memerlukan kelulusan SAJ, proses pemeriksaan tapak oleh Majlis Daerah Mersing dijangka selesai tidak lama lagi.
“Sekiranya semua spesifikasi dan garis masa dipenuhi, CCC dijangka dikeluarkan pada suku pertama 2025. Selepas itu, serahan kunci kepada pembeli rumah akan dilaksanakan.”
Turut hadir semasa tinjauan terbaru adalah Penyelaras JKPD Endau merangkap Ketua UMNO Bahagian Mersing,Youzaimi Yusof; Ketua Whip Majlis Daerah Mersing, Rina Farhana, serta ketua-ketua jabatan dan wakil agensi berkaitan. – UMNO Online