Harga Ayam Bukan Isu Politik Tapi Isu Rakyat – Bung Moktar

KUALA LUMPUR, 21 Jan – Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, menegaskan bahawa isu harga ayam yang melambung tinggi bukanlah isu politik, tetapi merupakan isu rakyat yang perlu diberi perhatian segera.

Sehubungan itu beliau berharap rakyat untuk segera melaporkan sekiranya masih ada harga barang makanan terutama ayam di negeri Sabah yang masih dijual dengan harga tinggi.

Menurut beliau ia ekoran aduan daripada orang awam yang memaklumkan harga ayam di negeri itu mencecah RM16.50 sekilogram.

“Saya telah meminta agar mereka melaporkan segera lokasi di mana harga sebegini masih dijual. Jika benar masih ada, pihak penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) perlu segera mengambil tindakan.

“Namun, saya percaya selepas isu ini tular kemungkinan besar penjual tidak lagi berani menawarkan harga seperti itu secara terang-terangan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Bung turut sama memaklumkan UMNO Sabah melalui Majlis Perhubungan Awam & Kepenggunaan Komuniti, Datuk Awang Aslee akan menghantar memorandum dan aduan secara rasmi kepada KPDN berkenaan harga ayam ini.

Menurut beliau ini kerana isu harga ayam yang mahal di Sabah sememangnya bukan isu baharu namun ia bukan alasan untuk mana-mana pihak khususnya kerajaan hari ini memberi jawapan mudah yang seolah-olah menafikan usaha-usaha kerajaan terdahulu dalam menangani masalah yang sama.

“Apa yang diperlukan ialah komitmen untuk menyelesaikan isu ini secara berkesan. Harga ayam bukan isu politik tetapi isu rakyat. Ia adalah keperluan asas yang harus ditangani secara bersama dan holistik.

“Kerajaan perlu mengambil langkah segera kerana ia semakin membebankan rakyat Sabah, terutama mereka yang berpendapatan rendah. Selain harga ayam, banyak lagi barangan keperluan lain yang juga mengalami jurang harga yang besar antara Sabah dan Semenanjung,” ujar beliau.

Beliau dalam pada itu menyeru kerajaan menerusi KPDN serta semua agensi yang berkaitan untuk mencari jalan penyelesaian bagi mengurangkan jurang harga barang keperluan ini, khususnya di Sabah dan Sarawak.

“Apa yang saya sampaikan ini adalah antara keluhan rakyat akar umbi dan memikirkan dengan rasional kos sara hidup rakyat yang semakin tinggi saban hari. Bayangkan, jika rakyat Sabah hanya mampu membeli sekilo ayam, rakyat di Semenanjung sudah boleh mendapatkan dua kilo dengan harga yang sama,” ujar beliau.

Terdahulu, Bung Moktar pada minggu lalu meminta kerajaan mengambil langkah serius berhubung isu harga barang makanan terutama ayam segar di negeri ini.

Perkara itu turut mendapat respon Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali yang memaklumkan fokus mencari penyelesaian mengenai isu harga ayam segar yang dijual lebih mahal di Sabah dan Sarawak berbanding di Semenanjung.

Beliau berkata kementerian itu bekerjasama dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) bagi menjalankan Kajian Penstabilan Harga di Sabah, Sarawak dan Labuan yang turut melibatkan ayam segar, dan hasil kajian itu bakal dibentangkan bulan ini. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit