Azalina Adakan Pertemuan Bersama Kepimpinan Penerangan, Kukuhkan Jentera Komunikasi

KUALA LUMPUR, 21 Jan – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said berbesar hati mengadakan perjumpaan dengan veteren UMNO dan ketua-ketua penerangan sayap-sayap Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri negeri-negeri semalam.

Diadakan di Pejabat Penerangan bertempat di Ibu Pejabat UMNO Pusat Dagangan Dunia (WTC), pertemuan tersebut dimanfaatkan sepenuhnya kepimpinan dalam melaksanakan diskusi dan pencerahan terkini membabitkan hala tuju parti.

“Pelbagai perkara dibincangkan dan beberapa isu juga turut disentuh terutama perkongsian strategi dalam mendepani landskap komunikasi masa kini yang begitu mencabar dengan kepesatan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam kapasiti saya selaku Ketua Penerangan UMNO Malaysia.

“Saya juga turut memberi gambaran halatuju penerangan UMNO untuk tahun 2025 dengan beberapa pendekatan baru,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Azalina yang juga Menteri Undang-undang Dan Reformasi dalam pada itu turut sama berharap segala perkongsian tersebut dapat dimanfaatkan sepenuhnya bagi mengukuhkan jentera komunikasi dan penerangan parti dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU16).

“Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri kita beri penerangan supaya kefahaman itu lebih mendalam bukan sahaja daripada aspek timeline dan juga justifikasi undang-undang,” ujar beliau menerusi hantaran video. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit