Malaysia-Indonesia Sependapat… Isu Berkaitan ASEAN Perlu Ditangani Bersama – Mohamed Khaled
KUALA LUMPUR, 20 Jan – Malaysia dan Indonesia bersependapat bahawa isu berkaitan ASEAN perlu ditangani bersama demi kestabilan serta kemajuan serantau, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Mohamed Khaled yang juga Naib Presiden UMNO menerusi hantaran di laman Facebooknya memaklumkan, beliau telah menerima kunjungan daripada Menteri Pertahanan Republik Indonesia, TYT Leftenan Jeneral (Bersara) Sjafrie Sjamsoeddin, di Kementerian Pertahanan Malaysia.
“Menerima kunjungan Menteri Pertahanan Republik Indonesia, TYT Leftenan Jeneral (Bersara) Sjafrie Sjamsoeddin, di Kementerian Pertahanan Malaysia.
“Beliau memilih Malaysia untuk lawatan rasmi sulung beliau ke luar negeri sejak dilantik sebagai Menteri Pertahanan Kabinet Merah Putih pada Oktober yang lalu.
“Pemilihan ini mencerminkan hubungan erat antara Malaysia dan Indonesia sebagai jiran dan bangsa serumpun,” katanya.
Menurutnya, pelbagai isu keselamatan dan pertahanan serantau telah dibincangkan di samping segala komitmen diberikan untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang teknologi serta industri pertahanan.
“Pelbagai isu keselamatan dan pertahanan serantau serta global telah dibincangkan semasa pertemuan itu tadi. Kedua-dua negara sependapat bahawa isu berkaitan ASEAN harus ditangani secara bersama demi kestabilan dan kemajuan serantau.
“Kedua-dua buah negara turut memberi komitmen untuk meneroka peluang baharu, terutamanya dalam meningkatkan kerjasama dalam bidang teknologi dan industri pertahanan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau turut mendoakan agar hubungan baik antara Malaysia dan Indonesia akan dapat terus diperkukuhkan.
“Fokus turut diberikan kepada kerjasama ketenteraan dalam melaksanakan misi pengaman dan kemanusiaan, sekaligus memperkukuh hubungan bilateral serta keupayaan serantau.
“Semoga hubungan baik antara Malaysia-Indonesia selama ini dapat terus diperkukuh dan rantau ini kekal aman, stabil serta makmur. Insya-Allah,” katanya lagi. – UMNO Online