Kenal Pasti Isu Setempat, Mohd Zaidy Pastikan Rakyat Mendapat Keselesaan

JEMPOL, 20 Jan – Semangat perpaduan dan keprihatinan komuniti terserlah dalam dua program istimewa yang berlangsung di FELDA Palong 2 melibatkan Majlis Khatan Perdana dan tinjauan penambahbaikan Surau Blok D oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir.

Seramai 32 anak-anak kecil menyertai Majlis Khatan Perdana yang diadakan di Masjid FELDA Palong 2 dengan kemeriahan dirasai apabila perarakan paluan kompang dan gimik pelancaran siraman air pancut oleh anggota bomba menyerikan suasana.

“Majlis ini bukan sahaja menjadi permulaan langkah baharu dalam kehidupan anak-anak, tetapi juga lambang tradisi Islam yang penuh bermakna. Kehadiran ibu bapa, anak-anak, dan seluruh komuniti menunjukkan semangat kebersamaan yang amat kuat,” kata Mohd Zaidy.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan penghargaan kepada pihak yang menjayakan majlis ini, termasuk FELDA, GPW, JPKK, MBFM, RELA, pihak masjid, serta para sukarelawan yang terlibat.

Dalam pada itu, Mohd Zaidy juga meluangkan masa meninjau keadaan Surau Blok D di kawasan yang sama dan hasilnya beberapa isu yang memerlukan perhatian segera telah dikenal pasti termasuk pembinaan tangki air baharu, baik pulih paip agihan air, penggantian pintu dan kelengkapan tandas, serta pembinaan longkang perimeter dengan penutup untuk memastikan kebersihan dan keselamatan.

“Saya berharap kerja-kerja baik pulih ini dapat disegerakan, lebih-lebih lagi menjelang bulan Ramadan, supaya surau ini lebih selesa digunakan,” katanya.

Beliau juga berjanji akan berusaha memastikan segala isu ini diberikan perhatian sewajarnya oleh pihak berkuasa yang berkenaan. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit