Gerak Kerja Perlu Diteruskan, Perbaharui Cara Dekati Rakyat – Noraini
KUALA LUMPUR, 20 Jan – Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad beranggapan bahawa gerak kerja perlu sentiasa diteruskan dan cara mendekati rakyat juga haruslah diperbaharui.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong berkata, semua pihak yang berada dalam sesebuah parti politik mesti bersedia pada bila-bila masa terutamanya ketika musim pilihan raya.
“Sudah semestinya sebagai sebuah parti politik, kita kena bersedia pada bila-bila masa kalau sekiranya ada diadakan pilihan raya.
“Sebab itu gerak kerja kita bukan hanya terhenti mengikut masa tetapi pada bila-bila masa kerana sentiasa ada brainstorm untuk datangkan pembaharuan cara hendak mendekati rakyat,” katanya.
Jelasnya, Wanita UMNO Bahagian Parti Sulong telah mengadakan bengkel gerak kerja Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Sabtu untuk menambah lebih banyak ilmu pengetahuan dalam menghadapi pilihan raya.
“Wanita UMNO Bahagian Parit Sulong berkumpul mendengar taklimat dan berbengkel untuk cuba menambah baik dan percambahan ilmu dalam menghadapi pilihan raya pada Sabtu.
“Terima kasih Ketua UMNO Bahagian Parit Sulong, Datuk Zulkurnain Kamisan, yang hadir sama memberikan kata-kata semangat untuk jentera Wanita UMNO Bahagian.
“Terima kasih juga buat sahabat-sahabat Ketua Wanita UMNO Bahagian yang hadir ke program ini,” katanya.
Sementara itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong turut hadir ke Program Sunathon Pusat Khidmat P147 yang melibatkan 50 orang anak-anak.
“Seperti kebiasaannya setiap tahun ketika musim cuti sekolah, Pusat Khidmat P147 akan mengadakan Program Sunathon. Tahun ini kami bekerjasama dengan Hospital Pakar Kanak-Kanak (HPKK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Program diadakan di Dewan Bestari Permata Jauhar, Kampung Parit Guntong. 50 orang anak-anak terlibat pada kali ini.
“Terima kasih diucapkan kepada Prof Datuk Ts. Dr Mohd Ekhwan Toriman, Naib Canselor UKM yang turut berkesempatan menghadirkan diri memberi sokongan buat anak-anak yang terlibat.
“Program dimualakan dengan perarakan anak-anak bersama keluarga masing-masing dan diiringi dengan paluan kompang oleh para pelajar Sekolah Kebangsaan Parit Sulong. Tahniah kepada anak-anak yang selesai berkhatan,” katanya lagi. – UMNO Online