ADUN Sungai Sibuga Meninggal Dunia
KOTA KINABALU, 20 Jan – Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Mohd Hamsan Awang Supain meninggal dunia ketika menjalani rawatan di Hospital Pakar KPJ, di sini, malam tadi.
Mohd Hamsan, 66, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Sibuga dilaporkan menghembuskan nafas terakhir pada jam 11.20 malam tadi.
Berita itu dikongsikan ahli keluarga dan rakan terdekat Allahyarham selepas pemergiannya tular di media sosial tengah malam tadi.
Semalam, Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, dilaporkan sempat melawatnya ketika masih menjalani rawatan di Hospital Pakar KPJ.
Allahyarham dilaporkan dirawat di hospital berkenaan sejak beberapa hari lalu selepas terkena serangan jantung tetapi dilaporkan stabil sebelum dikhabarkan meninggal dunia malam tadi.
Sementara itu, difahamkan jenazah Allahyarham sudah dibawa ke Masjid Negeri di Sembulan, di sini, untuk pengurusan jenazah, sebelum dibawa pulang ke kediamannya di Taman Khong Lok, Sandakan.
Jenazah Allahyarham kemudian akan dibawa ke Masjid Pengiran Galpam, Batu 7 Sandakan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Bintang Baru, Rancangan Sungai Manila, Sandakan, sebelum Zuhur nanti.
Mohd Hamsan memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Sibuga atas tiket Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16), September 2020 dengan majoriti 1,538 undi.
Beliau menggantikan Tun Musa yang menyandang kerusi berkenaan selama beberapa penggal. – BHOnline