PPBM Tak Sedar Diri Cuba Dominasi PN, Sepatutnya Calon Perdana Menteri Daripada Pas – Azhari

KUALA LUMPUR, 19 Jan – Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari berpandangan calon Perdana Menteri Perikatan Nasional (PN) wajar diberikan kepada Pas.

Menurut beliau ini kerena Pas memenangi lebih banyak kerusi daripada PPBM.

Respon Azhari itu diberikan ekoran kenyataan daripada beberapa pemimpin daripada PN termasuk Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang menyebut beberapa nama untuk dijadikan calon Perdana Menteri PN.

“Sepatutnya Pas lebih layak sebab mereka menang paling banyak kerusi dan menteri besar kepada beberapa negeri daripada segi itu kekuatan ada pada Pas bukan PPBM.

“Tapi mereka pula hendak letak Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Hamzah Zainudin jadi saya nampak Pas bakal meninggalkan PPBM sebab mereka ini pun boleh berkawan dengan mana-mana parti.

Dalam pada itu menurut beliau tindakan menamakan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai calon Perdana Menteri juga seperti mahu menimbulkan persepsi bahawa terdapat keretakan dalam gabungan tersebut.

Malah katanya, PPBM juga dilihat mahu menguasai jawatan tertinggi dalam PN yang mendorong Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar meletakan jawatan sebagai Bendahari Agung PN pada Disember lalu.

“Dalam gabungan ini saya nampak PPBM ini tidak boleh pergi jauh dia buat ulasan seperti itu sebab nak pecah belahkan Pas, tak kan mereka deal back door pulak dengan timbalan presiden Pas?

“Kalau kita tengok PPBM ini tidak sedar diri dia nak duduk semua kedudukan tertinggi dalam PN, semua dia nak ambil sebab itu Samsuri tolak jawatan bendahari tak kan la orang seperti dia hendak berada di kedudukan itu sedangkan dia adalah menteri besar,” ujar beliau.

Terdahulu, Mursyidul Am Pas Hashim Jasin dipetik media tempatan sebagai berkata tiada perbincangan antara Pas dan PPBM mengenai calon perdana menteri PN.

Hashim berkata pengumuman baru-baru ini oleh seorang pemimpin PPBM yang menamakan Muhyiddin sebagai calon perdana menteri PN dibuat tanpa merujuk kepada Pas.– UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit