Khabar Gembira, Nur Nasuha Ditawar Ke MRSM Pasir Tumboh-Dr Asyraf
KUALA LUMPUR,19 Jan – Pelajar, Nur Nasuha Mohd Nusi, 13, yang pernah tular kerana tercicir daripada menduduki Ujian Kecenderungan Kemasukan Maktab Rendah Sains Mara (UKKM) berikutan keluarga tiada kenderaan kini lulus dengan cemerlang dan ditawarkan ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pasir Tumboh, Kelantan.
Khabar gembira itu dikongsikan sendiri oleh Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Beliau berkata, ia membuktikan bahawa kemiskinan bukan alasan dan penghalang untuk mencapai kejayaan jika diberi peluang serta sokongan sewajarnya.
“Dengan keprihatinan Bahagian Pendidikan Menengah Mara (BPM) dan MRSM Kuala Krai, Nur Nasuha akhirnya dibantu menduduki ujian tersebut serta disediakan kenderaan oleh maktab untuk mengambilnya dari rumah.
“Alhamdulillah, khabar gembira yang saya terima, Nur Nasuha berjaya memperolehi keputusan amat cemerlang dalam UKKM dan ditawarkan ke MRSM Pasir Tumboh,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.
Kisah Nur Nasuha, pelajar SK Pak Badol itu pernah tular tahun lalu kerana tidak mampu menduduki UKKM meskipun dirinya sering mendapat tempat pertama dalam kelas.
Susulan itu, Asyraf Wajdi meminta Mara untuk menghubungi ibu bapa pelajar berkenaan yang tinggal di Kampung Lubuk Nibong, Pak Badol, Bachok.
Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi memaklumkan, pihaknya akan memberi sedikit bantuan bulanan seperti mana pernah dijanjikan asalkan Nur Nasuha bersetuju melanjutkan pelajaran ke MRSM berkenaan.
“Daftar saja ke MRSM Pasir Tumboh, nanti Mara bantu semua sekali dari segi yuran dan bantuan awal. Saya juga akan beri sumbangan sendiri.
“Mara terus komited membantu pelajar luar bandar yang cemerlang, terutamanya golongan B40 untuk mengubah masa depan keluarga mereka melalui pendidikan.
“Hanya dengan pendidikan kita mampu mengubah nasib keluarga,” ujarnya lagi.- SH