Titah Adendum: UMNO Sebuah Parti Yang Terbukti Mendaulatkan Titah Agong – Zawawi
KUALA LUMPUR, 18 Jan – UMNO adalah sebuah parti yang sentiasa menjunjung dan mendaulatkan titah Yang di-Pertuan Agong terutamanya dalam isu Titah Adendum mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Ketua Penerangan UMNO Negeri Kelantan, Datuk Zawawi Othman berkata, mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu termaktub di dalam Perlembagaan parti dan ia sentiasa menjadi pegangan para pemimpin serta ahli.
“Kita jadi kerajaan pada hari ini pun atas nasihat Yang di-Pertuan Agong. Bukan kerana persepakatan di antara Presiden UMNO dan Pakatan Harapan (PH). Tidak ada.
UMNO adalah satu-satunya parti di Malaysia, mempunyai perlembagaan yang mempertahankan Raja-Raja Melayu.
“Pas ada atau tidak ada? PPBM ada atau tidak ada? Tidak ada sebab Tun Dr Mahathir yang menubuhkannya. Ini bermakna UMNO masih lagi utuh menegakkan perlembagaan parti supaya Raja-Raja Melayu dipertahankan. Kita pertahankan sesiapa yang berada di takhta Agong. Sebab itulah Presiden memohon Yang di-Pertuan Agong supaya membuat pengampunan penuh kepada Datuk Seri Najib.
“Keputusan dibuat bukan kerana ramai kita berhimpun. Kita cuma bersolidariti. Kalau bersolidariti itu membawa kelemahan kepada keputusan selepas ini, lebih baik kita diam… yang pergi (himpunan) itu, bagi pandangan saya, Pas sokong bawa ‘debah’. Pas faham kalau Datuk Seri Najib keluar, UMNO akan kuat,” katanya kepada UMNO Online.
Menurutnya, Pas sengaja mengingkari titah Yang di-Pertuan Agong untuk tidak menghadiri perhimpunan tersebut kerana mereka tidak mahu Najib dibebaskan dan diberi pengampunan penuh.
“Jika UMNO kuat, maknanya Pas yang lemah. Ini kerana Pas dan UMNO, masing-masing pengaruhnya adalah orang Melayu. Kalau UMNO bertambah kuat, maka Pas lemah. Pada pandangan saya, Pas/Perikatan Nasional (PN) mahu meneruskan agenda mereka untuk memastikan Datuk Seri Najib tidak keluar. Sebab itu mereka lawan titah Agong.
“Sampai ada pemimpin Pas kata lawan ‘biawak’. Apa maksud biawak itu saya sendiri tidak tahu. Tetapi kalau kita tengok dalam ‘posting’ mereka, biawak itu dia kata kepada institusi Raja-Raja. Ini pada pandangan saya. Hantaran tersebut dikeluarkan oleh Ketua Penerangan Pas, Fadhli Saari. Jadi, hari ini orang UMNO kena faham…
Ramai mana pun kita, kita tidak mampu untuk mengeluarkan Datuk Seri Najib dari penjara. Semuanya atas kuasa Agong.
“Maka, Agong nak macam mana, kita kena ikutlah. Jangan kita lawan. Kalau Agong tak nak kita berhimpun, kita ikutlah agar baginda menunaikan hasrat kita. Hasrat kita berhimpun adalah untuk memberi sokongan supaya Datuk Seri Najib keluar. Kalau himpunan itu membuatkan Datuk Seri Najib tak boleh keluar, maka kita batalkan,” katanya lagi.
Tegasnya, Pas adalah seteru UMNO/Barisan Nasional (BN) kerana mereka tidak pernah ikhlas meskipun ketika membentuk Muafakat Nasional (MN) satu ketika dahulu.
“Pendirian diambil oleh UMNO (membatalkan himpunan) adalah satu keputusan yang bijak. Kita menghormati institusi Raja-Raja, Perlembagaan, undang-undang dan ketenteraman. Apa yang dibuat oleh Pas adalah cucuk. Pertama, Pas nak melihat Agong murka kepada UMNO dan Datuk Seri Najib sendiri. Kedua, Pas nak melihat kerajaan hari ini berkubur. Apabila UMNO/BN dengan PH berpecah, maka akan ada kerajaan baharu.
“Ketiga, Pas nak melihat penyokong-penyokong Datuk Seri Najib dan UMNO beralih sokongan kepada mereka yang dianggap juara kepada isu ini. Nasihat saya kepada orang-orang UMNO, Pas adalah lawan dan seteru kita. Berapa kali dah kita cuba berbaik dengan mereka. Tetapi mereka tidak pernah bersama dengan kita. Terutama dengan Datuk Seri Najib.
“Kalau kita lihat di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, masa kita bersama-sama dalam kerajaan. Pas bertanding bersendirian. Kita tawarkan lima kerusi tetapi mereka tidak mahu. Nak juga bersama dengan Muhyiddin yang mahu melihat Datuk Seri Najib meringkuk dalam penjara. Bagaimana ketika Datuk Seri Najib masih bebas? Ketika PRN Johor. Sama juga. Mereka menentang kita,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau turut mendoakan agar Najib diberikan pengampunan penuh dan mengucapkan terima kasih kepada seluruh kepimpinan serta penyokong parti yang masih berpegang teguh kepada perjuangan.
“Percayalah, untuk orang Melayu, UMNO adalah wadah perjuangan sebenar. UMNO bukan parti ekstrem, mempunyai pengalaman dan cita rasa untuk masa hadapan. Bukan untuk menghancurkan bangsa dan agama kita.
“Pas pernah mengkafirkan kita dan menidakkan kita. Jatuhnya kita kerana salah satu tangan-tangan Pas juga. Harapan saya, kita bina UMNO kembali, dan berdoa supaya Datuk Seri Najib diberikan pengampunan penuh.
“Terima kasih kepada Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana memohon pengampunan penuh daripada Yang di-Pertuan Agong untuk Datuk Seri Najib. Saya adalah penyokong tegar Datuk Seri Najib daripada dulu, kini dan Insya-Allah selama-lamanya,” katanya lagi. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman