Tindakan Gelar ‘Tin Kosong’ Biadap, Isu Agama Dan Sensitiviti Masyarakat Harus Difahami
KUALA LUMPUR, 17 Jan – Ketua Penerangan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Nasrun Nasaruddin, menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap kenyataan yang menggelar Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Akmal Saleh sebagai ‘tin kosong’.
Beliau menyifatkan tindakan tersebut sebagai biadap dan tidak wajar malah mencerminkan ketidakmatangan dalam berpolitik serta kurangnya kesediaan untuk berdebat secara beradab.
“Kritikan yang disampaikan dengan menyebut Dr. Akmal sebagai ‘tin kosong’ adalah sesuatu yang biadap dan tidak seharusnya dibuat kerana Dr Akmal menyuarakan isu yang amat penting.
“Dalam konteks ini, seharusnya semua pihak, terutamanya pemimpin kerajaan, memahami bahawa isu-isu yang berkaitan dengan agama dan sensitiviti masyarakat harus ditangani dengan penuh bijaksana dan tidak hanya dilihat dari sudut politik semata-mata,” katanya kepada UMNO Online, di sini.
Mengulas lanjut, Nasrun yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Wangsa Maju memuji langkah tegas yang diambil oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Dr Akmal dalam memastikan kesucian dan keutuhan prinsip agama terus dipelihara.
“Tindakan Dr. Akmal sudah pastinya dibuat atas rasa tanggungjawab untuk memastikan kesucian dan keutuhan prinsip agama sentiasa dijaga.
“Isu berkaitan halal haram dalam makanan bukanlah perkara remeh yang boleh dipandang ringan, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan amalan pemakanan yang berhubung rapat dengan kepercayaan agama.
“Ia sesuatu yang legit dimana pihak JAKIM sendiri telah mengeluarkan kenyataan bahawa Sandwich Ham terbabit tidak mendapat pensijilan halal,” katanya lagi .
Ujarnya, adalah penting kepekaan terhadap isu-isu agama dan kepercayaan dalam sebuah negara yang majmuk dan berbilang kaum.
“Penting untuk diingat bahawa dalam sebuah negara yang majmuk dan berbilang kaum, kepekaan terhadap isu-isu agama dan kepercayaan bukan sahaja membina keharmonian, tetapi juga memperlihatkan kedewasaan dalam berpolitik dan berinteraksi antara sesama rakyat,” tegasnya. – UMNO Online