KK Mart: Jadikan Yang Berlaku Sebagai Iktibar, Perlukan Tumpuan Serius – ADUN Seri Menanti

KUALA LUMPUR, 17 Jan – Isu penggunaan label Halal pada produk yang ternyata tidak dibenarkan untuk dimakan oleh umat Islam adalah satu perkara yang sangat sensitif, terutama dalam konteks masyarakat Islam di negara kita, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Menanti, Muhamad Sufian Maradzi.

Bagi beliau kejadian berkenaan yang menimbulkan polemik dan sebagainya memerlukan perhatian serta tumpuan serius daripada pihak-pihak yang berkaitan agar tidak akan berulang lagi.

“Saya ingin mengulas mengenai isu yang sedang dibincangkan ini. Ia seharusnya tidak dijadikan isu ini dan diangkat sebagai pertikaian politik semata-mata.

“Sebaliknya, pihak pembekal KK Mart dan KK Mart sendiri perlu memastikan prosedur kawalan kualiti (QC) yang ketat, bagi memastikan produk yang dijual kepada pengguna memenuhi piawaian yang ditetapkan, Kejadian seperti ini memerlukan perhatian serius daripada semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online, di sini.

Beliau seterusnya menambah adalah amat penting semua pihak untuk melihat insiden tersebut atau apa yang berlaku itu sebagai salah satu kepentingan yang perlu diberikan perhatian serius.

“Adalah penting juga untuk kita ingat bahawa UMNO tidak seharusnya membiarkan perkara ini berlalu tanpa tindakan, kerana ini adalah isu yang melibatkan keharmonian kaum dan agama.

“Jika kita benar-benar bertekad untuk memelihara keharmonian antara kaum di negara ini, semua pihak perlu bekerjasama untuk memastikan peraturan yang sedia ada dihormati dan dipatuhi,” ujarnya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit