Tiada ‘Team’ Dalam UMNO, Hanya Kebersamaan Dukung Agenda Perjuangan Parti – Dr Azhar

KUALA LUMPUR, 16 Jan – Ketua UMNO Bahagian Beruas, Datuk Dr Azhar Ahmad berkata ahli parti tetap menyokong penuh kepimpinan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk memastikan perjuangan parti terus dilaksanakan dalam memperkasa agama, bangsa dan negara.

Beliau yang juga Ahli Dewan Negara berkata ia bagi menafikan dakwaan segelintir pihak yang mengatakan bahawa ada kumpulan dalam UMNO.

“Tiada team dalam UMNO hanya ada satu iaitu bersama Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan sebagai ahli parti apa saja keputusan presiden dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) ahli akan setia dan menyokong.

“Selagi saya menjadi ahli parti mesti wala kepada presiden dan MKT, barulah UMNO melaksanakan perjuangan dengan sebaiknya.

“Tengok Pas macam mana ahli-ahli mereka ketika orang hentam Pas tetap dengan Pas juga,” katanya ketika dihubungi UMNO Online.

Dr Azhar dalam pada itu berkata sebaliknya dalam UMNO perbezaan pendapat adalah kebiasaan bagimemperkukuh parti ini seiring dengan dinamika politik.

Namun katanya, mereka mempunyai kebersamaan serta sebulat suara dalam memberikan sokongan kepada Datuk Seri Najib Razak.

“Tidak ada perpecahan dalam parti cuma perbezaan pendapat itu ya. Perbezaan pendapat itu dibolehkan dalam agama tidak ada masalah. Manakala dalam isu Najib ini ada cara masing-masing menyokong ada secara senyap, ada yang berdoa siang dan malam, solat hajat dan sebagainya.

“Ada orang dia bising, nak minta Najib bebas dan sebagainya. Tapi itu tidak melambangkan perpecahan dalam parti UMNO kita. Semua orang sayang Najib, simpati pada Najib sehingga sekarang setelah proses mahkamah berlaku sampai peringkat ini,” ujar beliau.

Beliau dalam pada itu berkata, ahli UMNO kini sudah matang dan mempunyai pendirian yang teguh membabitkan kepentingan parti.

“Kita telah melalui proses-proses kematangan dalam UMNO dan BN ni. Jika ada kepentingan peribadi, itu biarlah masa menentukan mereka kerana apa pun ni akan menyelamatkan kita adalah dua iaitu jujur dan ikhlas. Kalau tidak mana parti kita akan berpijak? Itu kena jaga,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit