PN Tiada Pemimpin Berkaliber Untuk Dilantik Sebagai PM – Puad
KUALA LUMPUR, 16 Jan – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berpandangan Perikatan Nasional (PN) tidak memiliki pemimpin yang berkaliber untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.
Menurut Puad, ini kerana tiada dalam kalangan pemimpin gabungan tersebut yang mempunyai hubungan baik dengan Istana Negara.
Respon tersebut diberikan beliau ekoran kenyataan daripada Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang menyebut calon Perdana Menteri PN perlu mempunyai hubungan baik dengan Istana.
“Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal kata, PN tidak ada masalah mencari calon Perdana Menteri untuk Pilihan Raya Umum ke-16. Syarat utama ialah calon itu mesti ada hubungan baik dengan istana.
“Kalau begitu semua pemimpin PN tidak layak. Mereka engkar nasihat Yang di-Pertuan Agong jangan mengadakan perhimpunan di Istana Kehakiman 6 Januari 2025 yang lalu,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit itu lagi ini termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin yang secara terang-terangan pada Pilihan Raya Umum ke-15 menolak nasihat Yang di-Pertuan Agong untuk bersama dalam Kerajaan Perpaduan.
“Apatah lagi Muhyiddin. Dia menolak nasihat Istana agar sertai kerajaan perpaduan.
“Bukan itu sahaja Raja Raja Melayu menolak cadangan dia teruskan darurat dan menggantung parlimen.
“Pokoknya jangan suka suka main sentimen istana untuk politik murahan,” ujar beliau.
Selain Muhyiddin Yassin, Wan Ahmad Fayhsal turut menamakan timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan naib presiden parti itu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai calon Perdana Menteri. – UMNO Online