Pas Guna Isu Titah Adendum Sebagai ‘Political Mileage’ – Mohd Imran
KUALA LUMPUR, 16 Jan – Pas/Perikatan Nasional (PN) dilihat cuba untuk menggunakan isu Titah Adendum mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai ‘political mileage’.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Selangor, Datuk Mohd Imran Tamrin berkata, prosiding Mahkamah Rayuan yang berlaku pada 6 Januari lalu berkenaan Titah Adendum ternyata memberikan kelegaan kepada Datuk Seri Najib dan para penyokongnya.
“Pada 6 Januari lalu saya juga berkesempatan untuk melihat prosiding di Mahkamah Rayuan mewakili Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Muhamad Akmal Saleh di ‘watching brief’ bersama Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Muhamad Nur Aizat Noor Azam.
“Kalau kita lihat prosiding tersebut, ia memberikan kelegaan kepada pihak Datuk Seri Najib dalam permohonan beliau di Mahkamah Tinggi sebelum ini iaitu satu permohonan adendum ataupun semakan kehakiman berkenaan dengan keputusan pengurangan dan juga kelegaan hukum.
“Keputusan tersebut dimaklumkan bahawa ada satu lagi titah ataupun perintah sepatutnya dimasukkan iaitu tahanan rumah. Itu adalah antara perkara yang akan dibicarakan secara merit selepas ini di Mahkamah Tinggi,” katanya kepada UMNO Online.
Beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Sungai Besar berkata, Titah Adendum tersebut juga telah disokong dengan surat daripada Datuk Pengelola Bijaya daripada Istana Pahang yang mewakili Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Sultan Pahang.
“Keputusan Mahkamah Rayuan yang lepas telah pun membuat satu dapatan bahawa Titah Adendum yang dikemukakan dalam afidavit Datuk Seri Nizar Najib tidak boleh diambil sambil lewa oleh mahkamah.
“Jadi, mahkamah kena mengambil kira afidavit dan juga keterangan tersebut sebagai satu keterangan baharu yang perlu dimasukkan di dalam permohonan utama ataupun ‘main suit’ Datuk Seri Najib di Mahkamah Tinggi berkenaan dengan ‘judicial review’.
“Titah adendum pada 6 Januari tersebut telah disokong oleh satu surat daripada Datuk Pengelola Bijaya daripada Istana Pahang yang mewakili KDYMM Sultan Pahang,” katanya.
Ujarnya, keberadaan Pas/PN ketika himpunan solidariti yang diadakan pada hari sama menunjukkan bahawa mereka cuba untuk mengambil kesempatan demi meraih laba politik.
“Ada dua sudut pandang berkenaan dengan keberadaan Pas. Di dalam kamar bicara, Datuk Seri Takiyuddin Hasan sendiri juga duduk sebagai peguam ‘watching brief’ yang mewakili ahli-ahli parlimen di blok pembangkang.
“Pertamanya dari segi sudut perundangan, keberadaan mereka ini sudah pastilah akan memberikan satu kelebihan daripada sudut untuk memahami prosiding mahkamah itu sendiri berkaitan dengan kewujudan afidavit yang difailkan oleh Datuk Seri Nizar Najib.
“Daripada sudut kedua, saya lihat himpunan di luar kamar mahkamah itu lebih kepada ‘political mileage’ yang cuba diraih oleh Pas secara umumnya untuk turut sama mengambil kesempatan dan juga peluang dalam kes perbicaraan Datuk Seri Najib,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau beranggapan bahawa Pas/PN tidak pernah menunjukkan solidariti ketika Datuk Seri Najib dituduh dan dipenjarakan sedangkan mereka mentadbir negara pada ketika itu.
“Sedangkan ketika Datuk Seri Najib dihukum penjara, Datuk Seri Takiyuddin sendiri yang pada ketika itu berada dalam kerajaan tidak juga memperlihatkan bahawa beliau ingin membantu.
“Datuk Seri Najib sebenarnya dituduh ketika pentadbiran Tan Sri Muhyiddin dan seterusnya dipenjarakan ketika Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri. Pada ketika itu Pas pun menjadi sebahagian daripada kerajaan. Jadi, kalau mereka nak tunjuk ihsan ataupun keadilan kepada Datuk Seri Najib, sepatutnya ketika mereka dalam pentadbiran kerajaan. Bukannya sekarang
“Saya lihat keberadaan Pas di luar kamar mahkamah tersebut hanyalah untuk mengambil kesempatan dan juga meraih laba politik semata-mata. Mereka ‘menangguk di air yang keruh’ sebab pada Pas tidak kisah sama ada Datuk Seri Najib ini terus kekal dalam penjara, mendapat keadilan ataupun sebaliknya, ianya tidak memberi apa-apa pun kesan kepada mereka sendiri,” katanya lagi.
Pada 6 Januari media melaporkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berjaya mendapat kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah untuk memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum.
Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Azizah Nawawi yang bersidang bersama Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril dengan majoriti 2-1, membenarkan rayuan Najib, 72, untuk mendapatkan kebenaran itu.
Ketika membaca keputusan terbabit, Mohd Firuz berkata, mahkamah memerintahkan supaya kes terbabit diremitkan atau dikembalikan ke Mahkamah Tinggi supaya merit semakan kehakiman ini diputuskan. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman