Johor Tuan Rumah ASEAN Tourism Forum (ATF) 2025, Platform Pelancongan Bertaraf Dunia – Onn Hafiz
JOHOR BAHRU, 16 Jan – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, menyatakan rasa syukur dan bangga apabila Johor terpilih menjadi tuan rumah bagi Travel Exchange (TRAVEX) 2025 sempena ASEAN Tourism Forum (ATF) 2025, yang dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Tiong King Sing, di Persada Johor International Convention Centre, semalam.
Acara bertaraf antarabangsa yang berlangsung dari 15 hingga 20 Januari itu dijangka menerima lebih daripada 1,000 delegasi dari seluruh duniaterdiri daripada agensi pelancongan, pengusaha hotel, serta pelbagai pihak berkepentingan dalam sektor pelancongan.
Menurut Onn Hafiz, ATF 2025 bukan sekadar acara untuk mempromosikan Johor sebagai destinasi pelancongan, tetapi juga merupakan platform penting untuk berkongsi idea dan merancang strategi pelancongan mampan.
Beliau turut menekankan bahawa pengunjung akan diberi peluang untuk mengalami sendiri keunikan budaya dan tradisi Johor selain menikmati pelbagai tarikan pelancongan yang menarik.
“Kami amat berterima kasih kepada MOTAC kerana memilih Johor sebagai tuan rumah untuk acara sebesar ini. Semoga ATF 2025 menjadi titik tolak untuk membawa Johor ke peringkat yang lebih tinggi dalam industri pelancongan global,” ujarnya menerusi hantaran dalam laman Facebooknya.
Beliau berharap ATF 2025 dapat merancakkan ekonomi negeri, selain mengukuhkan kedudukan Johor sebagai pintu utama pelancongan di ASEAN.
Ujarnya, acara ini juga selaras dengan usaha Kerajaan Negeri untuk menarik lebih ramai pelancong antarabangsa dan domestik ke Johor.
Onn Hafiz turut menyeru seluruh rakyat Johor untuk hadir dan memeriahkan ATF 2025, yang dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan pelancongan mampan di negeri ini. – UMNO Online