KK Mart Masih Tak Belajar Daripada Kesilapan, Guris Hati Umat Islam – Shah Zanuriman
KUALA LUMPUR, 15 Jan – Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Shah Zanuriman Nuar Paras Khan menyifatkan KK Mart tidak belajar daripada insiden lalu malah mengulangi tindakan biadab sama sehingga sekali lagi mengguris hati umat Islam di negara ini dengan tindakan menjual produk makanan memaparkan logo halal palsu.
Menurut beliau tindakan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh yang sebelum ini mengajak rakyat untuk memboikot KK Mart dan mendesak mereka menaikkan banner memohon maaf di setiap premis adalah terbukti tepat kerana sehingga kini KK Mart masih lagi angkuh.
“Kami di Pemuda UMNO sentiasa menegaskan bahawa tiada ruang untuk kompromi dalam isu yang melibatkan penghormatan terhadap agama Islam.
“Kepada sesiapa yang masih mahu mempertahankan KK Mart sama ada ahli politik, orang awam atau mana-mana pihak anda secara langsung menyokong kebiadaban dan memperkuatkan sikap angkuh mereka. Jangan sesekali menjadi pendukung kepada perbuatan yang menghina agama dan undang-undang,” katanya menerusi satu kenyataan.
Shah Zanuriman yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Selayang malah berkata ia bukan sekadar isu teknikal malah adalah pelanggaran serius terhadap undang-undang yang tidak boleh dibiarkan.
Tegas beliau lagi, KK Mart jelas menunjukkan sikap sambil lewa terhadap sensitiviti umat Islam, satu tindakan yang tidak boleh diterima sama sekali dan pihak berwajib perlu mengambil tindakan tegas tanpa kompromi.
“Soalnya, adakah KK Mart mahu mengambil tanggungjawab atas tindakan ini? Adakah mereka akan terus-menerus menyalahkan pihak pembekal seperti yang pernah dilakukan sebelum ini?
“Adakah mereka mahu kita mempercayai bahawa tiada pemeriksaan teliti terhadap sijil halal pembekal makanan mereka? Adakah mereka benar-benar peduli dengan sensitiviti umat Islam atau adakah ini sekadar retorik?” soal beliau.
Terdahulu pada Sabtu, Universiti Malaya menutup dua premis jualan runcit KK Mart serta-merta berikutan dakwaan penemuan produk pek sandwich yang diragui halal.
Kemudiannya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan produk ‘ham and cheese sandwich’ tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dan syarikat yang menghasilkan produk terbabit bukan pemegang SPHM. – UMNO Online