#KitaGerakBersama… Masyarakat Perlukan Pembelaan Terus Dapat Tumpuan Di Jelebu
KUALA LUMPUR, 15 Jan – Penglibatan pelbagai pihak di Jelebu dalam usaha membantu beban mereka yang memerlukan adalah satu pendekatan yang bukan sahaja bermusim dan pada waktu tertentu sahaja.
Sebaliknya tegas Ketua UMNO bahagian berkenaan, Datuk Seri Jalaluddin Alias ianya adalah dilaksanakan secara berterusan agar nasib mereka yang memerlukan mendapat perhatian serta tumpuan sewajarnya.
“Alhamdulillah inilah yang kita mahu dan penglibatan pelbagai pihak menerusi #kitagerakbersama, masyarakat yang memerlukan mendapat tumpuan sebaiknya. Kombinasi anak-anak muda Jelebu menerus Pemuda serta Puteri UMNO bahagian dan Majlis Gabungan belia Daerah membolehkan program berjalan sebaiknya.
“Atas semangat #KitaGerakBersama, saya mengucapkan terima kasih kepada anak-anak muda Jelebu yang tak putus-putus membantu meringankan beban mereka yang memerlukan. Tak kira hujan atau panas, anak muda Jelebu tetap kuat semangat dan ringan tulang!
“Hari ini Pemuda UMNO Jelebu, Puteri UMNO Jelebu dan Majlis Gabungan Belia Daerah Jelebu telah gerak bersama menyampaikan bantuan katil pesakit, kerusi roda dan sedikit barangan keperluan di Kampung Kuala Pah dan Felda Titi,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.
Kata beliau lagi kerjasama semua pihak dan pelbagai agensi masyarakat setempat yang memerlukan pendapat pembelaan sewajarnya.
“Terima kasih juga kepada sebahagian kepimpinan UMNO Bahagian Jelebu dan kedua-dua cawangan yang turut membantu. Yang penting kita mahu pastikan tiada masyarakat Jelebu yang tertinggal daripada menerima pertolongan sewajarnya,” ujarnya. – UMNO Online