Isu KK Mart: Tindakan Tegas Perlu Dilakukan, Sentuh Sensitiviti Umat Islam – Fariz Hazurin

KUALA LUMPUR, 15 Jan – Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Seri Fariz Hazurin Ismail, meminta agar tindakan tegas diambil terhadap KK Mart berikutan insiden penggunaan logo halal palsu pada produk yang dijual.

Menurut beliau, bahawa insiden seperti ini tidak boleh dibiarkan berlarutan kerana ia jelas mempermainkan sensitiviti umat Islam di negara ini.

“Jika ia dibiarkan insiden seperti ini akan terus berulang dan umat Islam akan dipermainkan tanpa henti. Tindakan sewajarnya perlu diambil terhadap KK Mart. Ini bukan masa untuk amaran kosong atau sekadar teguran, ini adalah masa untuk pengajaran yang keras.

“Tindakan seperti denda yang tinggi, penggantungan lesen, atau pembatalan lesen operasi perlu dilaksanakan dengan segera bagi menunjukkan ketegasan pihak berkuasa.

“Semudah itukah satu produk yang tidak pernah mendapat sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) boleh dijual dengan logo halal palsu? Ini merupakan tindakan sengaja untuk menguji kesabaran umat Islam yang selama ini bertolak ansur,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Fariz Hazurin yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Subang mempersoalkan tindakan KK Mart yang didakwa gagal mengambil pengajaran daripada kes-kes penghinaan agama sebelum ini.

“Apakah KK Mart masih buta dengan kes-kes penghinaan sebelumnya seperti insiden stoking dengan kalimah Allah yang mengguris hati umat Islam.

“Ini adalah tanda jelas betapa lemahnya sistem kawalan dalam perniagaan mereka tanpa mengambil kira kepentingan agama masyarakat majoriti di negara.

“Mereka bukan sahaja mengaut keuntungan tetapi wajib menjaga sensitiviti agama serta memastikan setiap produk dijual memenuhi piawaian yang ditetapkan,” jelasnya.

Tegas Fariz Hazurin, insiden ini sekali lagi membuka perbincangan tentang tanggungjawab perniagaan dalam memastikan sensitiviti agama masyarakat dihormati.

Terdahulu pada Sabtu, Universiti Malaya menutup dua premis jualan runcit KK Mart serta-merta berikutan dakwaan penemuan produk pek sandwich yang diragui halal.

Kemudiannya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan produk ‘ham and cheese sandwich’ tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dan syarikat yang menghasilkan produk terbabit bukan pemegang SPHM. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit