CEPA Bakal Tingkat Jumlah Perdagangan Malaysia-UAE Sebanyak 60 Peratus – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR, 15 Jan – Comprehensive Economic Partnership Agreement (CEPA) antara Malaysia dan UAE dijangka bakal meningkatkan jumlah perdagangan dua hala sekurang-kurangnya 60 peratus dalam tempoh lima tahun.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, rundingan perjanjian perdagangan bebas yang dimuktamadkan hanya dalam tempoh 11 bulan itu menjadi bukti kepada komitmen dan kerjasama kedua-dua negara.

“Rundingan perjanjian perdagangan bebas terpantas dalam sejarah Malaysia!
CEPA antara Malaysia dan UAE (MY-UAE CEPA) telah mencipta rekod baharu untuk Malaysia sebagai perjanjian perdagangan bebas terpantas dimuktamadkan, dalam tempoh 11 bulan sahaja. Ini adalah bukti komitmen dan kerjasama kedua-dua pihak.

“Pemeteraian perjanjian ini yang disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Yang Amat Mulia Sheikh Mohammed bin Zayed Al Nahyan, Presiden UAE merangkap Pemerintah Abu Dhabi, dijangka akan meningkatkan jumlah perdagangan dua hala sebanyak sekurang-kurangnya 60 peratus dalam tempoh lima tahun, menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan.

“CEPA juga merupakan perjanjian perdagangan bebas yang pertama antara Malaysia dengan sebuah negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (Gulf Cooperation Council – GCC),” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, kejayaan memuktamadkan rundingan ini adalah peristiwa penting dalam usaha mengeratkan hubungan ekonomi Malaysia dan UAE.

“Insya-Allah, CEPA akan memangkin integrasi ekonomi yang lebih rapat, serta menyumbang kepada kemakmuran bersama dan pertumbuhan yang lebih mampan untuk kedua-dua negara.

“Tetapi usaha kita tidak terhenti di sini. Sasaran kita selepas ini, rundingan perjanjian bebas bersama GCC yang terdiri daripada Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Arab Saudi dan UAE. Semua ini demi Malaysia,” katanya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit