UMNO Ranau Prihatin, Santuni Mangsa Bencana Banjir Dan Tanah Runtuh
RANAU, 14 Jan – UMNO Bahagian Ranau terus komited meneruskan khidmat bakti yang telah sebati dengan perjuangan parti, tampil menyantuni mangsa bencana banjir dan tanah runtuh di kawasan ini.
Ketua UMNO Bahagiannya, Datuk Junaidi Sahat, bersama-sama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) bagi Kampung Lipoi, Kampung Libang, Kampung Bahab/Tudangan, dan Kampung Marakau telah mengadakan lawatan ke kawasan-kawasan yang terjejas.
Lawatan ini bukan sahaja bertujuan menyantuni penduduk yang terkesan dengan musibah ini tetapi juga memberikan sokongan moral kepada mereka yang terlibat.
Dalam hal ini Junaidi menzahirkan rasa simpati terhadap keadaan mangsa-mangsa bencana tersebut, sambil mengharapkan mereka tabah dan sabar menghadapi ujian ini.
“UMNO Bahagian Ranau bersama JPKKP komited untuk membantu sedaya mungkin menggunakan saluran yang ada bagi meringankan beban keluarga-keluarga yang terjejas. Kita akan berusaha memastikan bantuan dapat disalurkan dengan cekap dan pantas,” katanya.
Beliau berharap agar usaha dan sokongan yang diberikan mampu memberi sinar harapan kepada mangsa-mangsa bencana dalam memulakan langkah untuk memulihkan kehidupan mereka. – UMNO Online