UMNO Papar Prihatin, Aplikasi Perjuangan Berkhidmat Untuk Rakyat
PAPAR, 14 Jan – Ketua UMNO Bahagian Papar, Datuk Jamal Nerubi, menzahirkan komitmen tinggi untuk terus membela dan mendekati rakyat, terutamanya golongan akar umbi.
Berteraskan aspirasi perjuangan UMNO, beliau memimpin inisiatif kunjungan rumah ke rumah di sekitar kawasan Papar untuk mendengar keluhan serta memahami keperluan masyarakat setempat secara langsung.
Ujarnya, langkah ini diambil sebagai sebahagian daripada usaha memastikan UMNO kekal relevan sebagai parti yang sentiasa peka terhadap isu rakyat, khususnya mereka yang tinggal di kawasan luar bandar.
“Dalam kunjungan tersebut, beberapa isu penting telah dikenal pasti yang memerlukan perhatian segera. Antaranya adalah masalah infrastruktur seperti jalan rosak, kekurangan bekalan air bersih, dan isu-isu setempat yang sering membelenggu rakyat.
“Selain itu, ada juga penduduk meluahkan kebimbangan terhadap kekurangan peluang pekerjaan, terutama bagi golongan muda, yang menyebabkan ramai terpaksa berhijrah ke luar kawasan untuk mencari nafkah.
“Tekanan ekonomi akibat kenaikan harga barang turut menjadi rungutan utama di kalangan keluarga, terutamanya golongan berpendapatan rendah,” katanya yang menekankan bahawa usaha bagi membela nasib rakyat dilaksana oleh UMNO secara holistik tanpa mengambil kira ideologi, bangsa atau agama.
Jamal menekankan bahawa UMNO Bahagian Papar akan terus berusaha termasuk mencapai aplikasi kerjasama dengan pelbagai agensi termasuk NGO untuk mencari jalan penyelesaian demi membela rakyat.
“Setiap isu yang memerlukan perhatian segera akan dibawa ke peringkat lebih tinggi untuk tindakan lanjut dan diusahakan aplikasi terbaik agar kesulitan dapat dikurangkan.
“Perjuangan UMNO sentiasa berteraskan kepentingan rakyat, dan parti ini tidak akan membiarkan mana-mana komuniti tertinggal atau terpinggir.”
Usaha ini, katanya, bukan sekadar simbolik tetapi mencerminkan keprihatinan tulen UMNO dalam memperbaiki taraf hidup rakyat.
Melalui pendekatan mendekati masyarakat secara langsung, beliau yakin bahawa UMNO membuktikan bahawa parti ini tidak hanya menabur janji, tetapi komited melaksanakan tindakan nyata demi memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara.
Terdahulu beliau telah mengadakan kunjungan di Kampung Anak Kinarut, Kampung Pengalat Besar, Kampung Tengah Benoni dan kawasan sekitar dengan mengunjungi mereka yang uzur dan ditimpa ujian kesihatan. – UMNO Online