UMNO/BN Perlu Kekal Relevan, Jadi Tunjang Utama Harapan Rakyat

MERBOK, 14 Jan – Matlamat dan fokus yang diberikan oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi cukup jelas mahukan UMNO/BN terus kekal relevan supaya menjadi tunjang dan kembali dominan dalam kerajaan, tegas Ketua UMNO Bahagian Sik, Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim.

Menurut beliau, UMNO/BN harus memainkan peranan utama dalam Kerajaan Perpaduan selepas melalui pilihan raya lalu.

“UMNO/BN perlu menjadi tunjang kepada Kerajaan Perpaduan dan terus kekal relevan serta kembali menjadi dominan dalam kerajaan. Caranya semua ahli parti harus berkerja kuat untuk memastikan kepercayaan rakyat kembali semula pada UMNO/BN mengikut apa yang digariskan dan diputuskan dalam Konvensyen BN sebelum ini.

“Parti ini perlu bergabung dengan Kerajaan Perpaduan dan bina kekuatan semula satu persatu untuk berdiri sendiri apatah lagi dengan dinamika politik yang tidak ada parti tunggal boleh menguasai kerajaan dengan majoriti yang mudah.

“Mudah-mudahan pada satu masa akan datang UMNO/BN akan menjadi parti utama serta kembali mendapat kepercayaan rakyat sepenuhnya,” katanya kepada UMNO Online di sini.

Mengulas lanjut Muhamad Khizri menegaskan UMNO/BN harus menjuarai isu rakyat kerana parti ini tidak boleh lari dari perjuangan orang Melayu dan Islam.

“Apa-apa jadi pun UMNO/BN perlu menjuarai isu yang melibatkan kepentingan rakyat, bangsa Melayu dan agama Islam serta kempen-kempen di media sosial. Sekiranya tidak ke depan maka parti ini akan ketinggalan ke belakang.

“Kita perlu ke depan mengenai sosial media dan bukannya selangkah malah kena dua atau tiga langkah ke hadapan agar rakyat mengikuti dan kembali pada UMNO/BN. Rakyat mudah dapat info-info terkini melalui media sosial,” jelasnya.

Pada masa yang sama Muhamad Khizri menjelaskan bahawa salah tanggap mahupun tohmahan yang dimainkan oleh pihak lawan harus dikupas satu persatu agar rakyat tahu bahawa UMNO/BN sentiasa menjaga hati nurani rakyat.

“Salah anggap ini sudah lama dipupuk oleh pihak lawan, tetapi UMNO/BN jangan leka dan segera beri kupasan satu persatu kepada rakyat agar rakyat tidak menyalahkan parti.

“Bertitik tolak daripada itu UMNO/BN perlu mengambil pengajaran dan segera mendekati rakyat, beri penjelasan, penerangan dan kutip kembali semua kepercayaan ini dan rakyat pasti kembali pada UMNO/BN.”

Tegasnya lagi, UMNO/BN tidak boleh anggap  perkara ini remeh dan biarkan ia berlalu.

“Sekiranya ada isu walaupun sekecil-kecil namun UMNO/BN perlu cepat ‘cover’ perkara ini supaya rakyat tidak terpesona mahupun terpengaruh dengan dakyah pembangkang,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit