Politik Khidmat Bakti Johan Berterusan Untuk Rakyat Dusun Tua
KUALA LUMPUR, 14 Jan – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Datuk Johan Abd Aziz terus menyantuni penduduk di kawasan melalui program-program berbentuk kemasyarakatan serta ziarah kasih yang dilakukan.
Sinonim dengan rutin menyantuni penduduk setempat di kawasannya, terbaharu beliau menziarahi Siti Edah Ibrahim atas pemergian suami tercinta
Johan yang juga Ketua UMNO Bahagian Hulu Langat dalam kunjungan tersebut meluahkan simpati kepada Ketua Wanita UMNO Cawangan Sungai Raya, Siti Edah atas kehilangan insan tersayang, di samping menitipkan kata-kata semangat dan mendoakan Allahyarham suaminya ditempatkan bersama orang yang solehah.
“Berkesempatan untuk menziarahi Siti Edah Ibrahim yang baru sahaja kehilangan suaminya iaitu Arwah Abdullah Rahim semalam.
“Semoga Cikgu Edah sekeluarga diberi ketabahan terhadap kehilangan ini. Marilah kita bersama-sama memanjatkan doa agar Arwah ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman, insya-Allah,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Sementara itu menerusi hantaran terdahulu, Johan berkongsi kehadirannya pada program gotong-royong bagi membersihkan Padang Awam Batu 14 yang dianjurkan Pejabat DUN Dusun Tua dan Parlimen Hulu Langat .
Beliau berkata gotong-royong ini adalah langkah awal dalam kerja membaik pulih sepenuhnya dan dijangkakan akan dilaksanakan pada tahun ini.
Program gotong-royong ini adalah langkah awal di dalam kerja membaik pulih sepenuhnya dan dijangkakan akan dilaksanakan pada tahun ini.
“Pelbagai usaha telah digerakkan di peringkat Parlimen dan juga Dewan Negeri bagi memulihkan semula padang ini.
“Sekalung penghargaan diucapkan kepada semua yang terlibat. Semoga padang ini dapat dikembalikan semula fungsinya sebagai ruang aktiviti yang bermanfaat untuk semua seperti suatu ketika dahulu,” ujar beliau.
Selain mendapat kerjasama Pusat Khidmat Rakyat DUN Dusun Tua ia juga disertai Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ), Polis Diraja Malaysia, ketua-ketua kampung, sukarelawan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). – UMNO Online