KK Mart Tidak Sensitif Isu Halal … Perlu Langkah Dan Tindakan Segera – Puteri UMNO

KUALA LUMPUR, 14 Jan – Memang benar, bagi umat Islam, makanan yang dimakan sangat penting kerana ia akan menjadi darah daging kita, dan sebarang kecuaian atau ketidaksesuaian dalam hal ini boleh memberi kesan serius terhadap pengamalan agama, Kata Pengerusi Biro Agama Puteri UMNO, Firza Syafiqa Mohd Puzi.

Justeru katanya sejajar dengan isu yang tular mengenai status halal yang diragui pada salah satu produk yang dijual oleh KK Mart, Pergerakan itu berpandangan sesuatu makanan yang tidak mempunyai logo halal yang sah boleh menimbulkan keraguan tentang kesahihan sumber bahan-bahan yang digunakan dan proses penyediaannya, yang mana boleh mengakibatkan pelanggaran hukum agama.

“Rentetan isu yang bukan pertama kali berlaku, Pergerakan Puteri UMNO Malaysia mencadangkan beberapa aspek penting antaranya kepatuhan terhadap sijil halal. Makanan yang tidak disahkan halal oleh pihak berkuasa seperti JAKIM memang sangat sensitif dalam kalangan umat Islam.”

Oleh itu katanya, setiap pengusaha makanan perlu memastikan mereka mematuhi peraturan dan mendapatkan sijil halal yang sah sebelum menjual produk mereka kepada orang Islam.

“Keduanya keseriusan dalam memahami hukum agama. Bagi umat Islam, memakan makanan yang tidak halal bukan hanya soal keselesaan, tetapi juga menyentuh soal kewajipan agama. Oleh itu, kecuaian dalam isu ini dianggap sangat serius kerana ia boleh merosakkan kesucian iman dan amalan harian.

“Seterusnya soal pendidikan dan kesedaran masyarakat.Pendidikan tentang pentingnya sijil halal dan kesan hukum agama yang berkaitan perlu diperkukuhkan. Semua pihak, termasuk pengguna, pengeluar, dan pengedar makanan, perlu diberikan pemahaman yang jelas tentang kenapa logo halal itu sangat penting dan apa akibatnya jika makanan yang tidak halal dikonsumsi,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online.

Kata beliau lagi pendekatan seterusnya adalah  langkah tegas terhadap pengusaha yang cuai dan pihak berkuasa seperti JAKIM perlu mengambil tindakan yang tegas terhadap mana-mana pihak yang cuai atau tidak mematuhi garis panduan halal.

“Ini termasuklah menarik balik sijil halal atau mengenakan denda, sebagai pengajaran kepada semua pengusaha makanan. Selain itu sokongan dan pengawasan berterusan juga penting  selain audit berkala terhadap produk makanan yang dikeluarkan.

“Proses pensijilan halal bukan hanya pada permulaan, tetapi harus dipastikan berterusan supaya tiada sebarang penipuan atau kecuaian berlaku.

“Isu ini memang amat sensitif dan memerlukan perhatian serius dari semua pihak untuk memastikan kepercayaan umat Islam terhadap makanan yang mereka makan tetap terjaga dan dilindungi sebagai menghormati Islam sebagai agama persekutuan di negara ini,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit