‘Jual Produk Label Halal Palsu Pengkhianatan Besar Terhadap Umat Islam, Undang-undang Negara’
KUALA LUMPUR, 14 Jan – Exco Pemuda UMNO Malaysia, Wan Muhammad Zuhir Ghazali menyifatkan isu penjualan sandwich yang mempunyai label halal palsu membuka mata berkenaan produk halal yang berada di pasaran dan dikonsum oleh umat Islam di negara ini.
Beliau berkata demikian sebagai memberi respon berkenaan penjualan label halal palsu yang tular baru-baru ini.
Malah jelas Wan Muhammad Zuhir ia sebagai pengkhianatan besar bukan sahaja kepada orang Islam bahkan terhadap undang-undang negara.
“Mengapa isu ini begitu penting? Sebagai seorang Muslim, isu ini bukan hanya soal undang-undang. Bahkan juga soal tanggungjawab moral terhadap umat Islam di negara kita.
“Kerana ia melibatkan keboleh-percayaan umat Islam terhadap produk yang kita semua konsumsi. Menjual produk dengan label halal palsu adalah satu pengkhianatan besar.
“Bukan sahaja kepada pengguna dikalangan orang Islam, tetapi juga kepada undang-undang negara. Perbuatan ini jelas salah dari segi undang-undang dan moral,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Lebih mengecewakan katanya apabila ada segelintir pihak yang seolah-olah tidak memahami sensitiviti ini.
“Wahai Ketua Pemuda Dap, kami sebagai orang Islam punyai tanggungjawab untuk menyampaikan kebenaran dan prinsip! Dr Akmal Saleh menyatakan prinsip. Jauh sama sekali berlagak hero.
“Justeru kepada mereka yang terlibat atau cuba mempertahankan perkara ini, fikirkan kembali.
“Adakah anda benar-benar mahu berdiri di pihak yang salah?” soal beliau.
Terdahulu pada Sabtu, Universiti Malaya menutup dua premis jualan runcit KK Mart serta-merta berikutan dakwaan penemuan produk pek sandwich yang diragui halal.
Kemudiannya pada semalam Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan produk ‘ham and cheese sandwich’ tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dan syarikat yang menghasilkan produk terbabit bukan pemegang SPHM. – UMNO Online