Isu Titah Adendum: Cuba Jadi Juara… Pas ‘Menangguk Di Air Keruh’ – Zawawi
KUALA LUMPUR, 14 Jan – Pas dilihat cuba ‘menangguk di air yang keruh’ apabila cuba menjadi juara dalam isu Titah Adendum mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Ketua Penerangan UMNO Negeri Kelantan, Datuk Zawawi Othman berkata, isu tersebut mula diperjuangkan oleh parti apabila Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memfailkan afidavit, disusuli beberapa orang pemimpin lain.
“Kita adalah sebuah parti yang mengikut lunas-lunas Islam dan perlembagaan negara. Kalau lihat isu Titah Adendum, kita perjuangkannya apabila melihat salah seorang yang mula-mula memberi afidavit ini adalah Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Selepas itu, Naib Presiden UMNO merangkap Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyusul bersama Datuk Nizar Najib, turut memfailkan afidavit tentang titah ini.
“Hari ini, diperlihatkan apabila parti mengambil keputusan untuk memberhentikan himpunan yang nak dibuat pada 6 Januari lalu, ada yang mengatakan bahawa UMNO berkomplot dengan orang tertentu supaya tidak mengeluarkan Datuk Seri Najib,” katanya kepada UMNO Online.
Menurutnya, Pas tidak pernah melakukan apa-apa usaha untuk bersolidariti dengan Najib apatah lagi beliau dipenjarakan ketika zaman pemerintah yang turut disertai oleh parti itu.
“…yang buat afidavit ini, siapa? UMNO. Presiden UMNO. Pas tidak ada pun buat afidavit dan mereka menjadi kerajaan ketika Datuk Seri Najib dipenjarakan… sedangkan beliau meminta kerajaan untuk memberi masa kerana terpaksa menukar peguam.
“Tetapi Pas yang ada sebagai kerajaan juga dan Datuk Seri Takiyuddin adalah Menteri Undang-Undang yang menjadi juara hari ini, tidak pernah pun bersolidariti untuk Datuk Seri Najib. Terutamanya pada 22 Ogos 2022, sehari sebelum Datuk Seri Najib dipenjarakan. Iaitu 23 Ogos, 2022. Pas diam.
“Sebelum itu, Pas mengatakan bahawa UMNO ini rosak, mengaitkan kes Datuk Seri Najib hingga yang katakan ‘itik patah kaki’ dan sebagainya. Kalau kita tengok Wan Ahmad Fayshal ataupun mat jargon, dia pernah cakap siapa yang ikut Datuk Seri Najib adalah bodoh. Tetapi pada perhimpunan tersebut… tidak malukah dan tidak ingatkah apa yang dia pernah katakan sebelum ini?” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa Yang di-Pertuan Agong berkuasa untuk memberikan sebarang keputusan.
“Mereka ini (Pas) adalah tali barut untuk Yang di-Pertuan Agong murka kepada UMNO. Hari ini, yang boleh mengeluarkan Datuk Seri Najib adalah Agong. Kita himpun sejuta manusia sekali pun, kalau Agong tidak mengeluarkan titah untuk memberi pengampunan, maka perkara tersebut akan kekal.
“Untuk kes mahkamah Datuk Seri Najib, pada saya ini adalah satu perancangan dan kezaliman. Seseorang itu perlu dibicarakan dengan serentak berserta hukuman. Ada kes rogol kalau kita tengok, empat kali rogol. Rogol pertama, kena 20 tahun. Rogol kedua, 20 tahun. Sampai empat kali, 80 tahun tetapi berjalan serentak. Kes Datuk Seri Najib ini pula telah dirancang supaya tidak berjalan serentak.
“Kita sebagai rakyat Malaysia melihat perbicaraan ini tidak adil. Semua pihak tahu ada Titah Adendum tetapi tidak dilaksanakan. Namun, kita menghormati undang-undang apatah lagi Yang di-Pertuan Agong. Baginda telah mengeluarkan kenyataan bahawa dalam fasa tertentu, dia yang boleh berkuasa untuk mengampun, melengah, menunda (hukuman),” katanya lagi.
Pada 6 Januari media melaporkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berjaya mendapat kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah untuk memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum.
Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Azizah Nawawi yang bersidang bersama Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril dengan majoriti 2-1, membenarkan rayuan Najib, 72, untuk mendapatkan kebenaran itu.
Ketika membaca keputusan terbabit, Mohd Firuz berkata, mahkamah memerintahkan supaya kes terbabit diremitkan atau dikembalikan ke Mahkamah Tinggi supaya merit semakan kehakiman ini diputuskan. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman