Isu KK Mart Serius, Berkait Sensitiviti Dan Libat Kepatuhan Undang-undang Halal – Sollehin
KUALA LUMPUR, 14 Jan – Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Mohammad Sollehin Mohammad Tajie memandang serius isu penjualan produk sandwich ham di KK Mart.
Sollehin yang juga Exco Pergerakan Pemuda UMNO menjelaskan isu ini bukan sahaja menyentuh sensitiviti umat Islam, tetapi juga melibatkan kepatuhan terhadap undang-undang halal negara.
“KK Mart perlu segera memberikan penjelasan berhubung status produk tersebut dan memastikan label produk mereka mematuhi piawaian halal yang ditetapkan oleh JAKIM.
“Pihak JAKIM dan KPDN perlu menjalankan siasatan menyeluruh dan mengambil tindakan tegas sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang halal.
“Sebagai rakyat Malaysia, hak untuk menyuarakan isu berkaitan kepentingan umum dijamin oleh Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, khususnya dalam perkara yang menyentuh sensitiviti agama. Sebaliknya, kita semua perlu menghormati keprihatinan umat Islam dan mengutamakan keharmonian masyarakat,” katanya.
Mengulas lanjut, Sollehin yang juga Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang berkata, Pemuda UMNO Malaysia sentiasa komited untuk mempertahankan kepentingan umat Islam dan memastikan pihak berwajib mengambil tindakan sewajarnya.
“Pemuda UMNO akan terus memantau perkembangan isu ini dan memastikan tindakan diambil demi menjaga kepentingan rakyat. Isu halal adalah tanggungjawab bersama, dan kita perlu memastikan ia dihormati oleh semua pihak.
“Kami menyeru semua pihak agar berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan supaya tidak mengeruhkan hubungan antara kaum dan agama di negara ini,” katanya lagi.
Seterusnya kata beliau lagi, penggunaan istilah seperti ‘ham’ yang sinonim dengan bahan tidak halal menimbulkan kekeliruan yang jelas, terutama kepada pengguna Muslim.
“Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 (APD 2011) telah menetapkan garis panduan jelas bahawa produk berlabel halal mesti mematuhi semua peraturan dan tidak boleh mengelirukan pengguna,” ujarnya. – UMNO Online