Guna Logo Halal Tidak Sah, Dr Akmal Gesa Tindakan Berat Dikenakan
KUALA LUMPUR, 14 Jan – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menggesa agar tindakan berat dikenakan ke atas syarikat bertanggungjawab kerana menjual sandwich yang menggunakan logo halal tidak sah.
Menerusi hantaran video yang dimuatnaik di laman Facebooknya, beliau mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kerana membuat pengesahan dengan tuntas mengenai isu tersebut.
“Saya nak ucapkan terima kasih kepada JAKIM kerana telah mengeluarkan kenyataan bahawa isu sandwich yang letakkan ada logo halal itu… JAKIM dah mengesahkan bahawa produk berkenaan tidak mempunyai sijil pengesahan halal yang sah.
“Maksudnya, produk tersebut tidak pernah pun mendapatkan sijil halal yang sah daripada JAKIM. Jadi, saya nak bertanya kepada KK Mart, bagaimana satu syarikat besar… kamu nak ambil vendor ini, kamu tak check produk-produk tersebut?
“…dan bagaimana kamu nak pastikan produk yang kamu jual itu benar-benar sah dapat cop halal yang betul? Saya anggap ini adalah satu pengkhianatan kepada pengguna-pengguna muslim,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau menegaskan bahawa perkara tersebut merupakan sebuah pengkhianatan kepada para pengguna Islam di negara ini.
“Kamu nak jual sandwich atau apa-apa pun yang bukan halal, go ahead, tak ada masalah, kami pun tak kisah pun. Tapi dah lah kamu jual, kamu gunakan cop halal tu untuk melariskan produk, maka ini adalah pengkhianatan kepada pengguna-pengguna muslim di negara ini.
“Jadi, saya minta syarikat dan orang yang bertanggungjawab ini mestilah dikenakan tindakan yang berat kepadanya. Jadi, kepada semua sahabat-sahabat di luar sana, anda tahu apa yang anda perlu lakukan,” katanya.
Terdahulu, UMNO Online melaporkan Dr Akmal menempelak penjualan pek sandwich yang diragui halal di kedai serbaneka KK Mart cawangan Universiti Malaya (UM).
Beliau berkata menambahkan lagi kekesalan apabila pek sandwich tersebut juga mempunyai logo halal.
Pada Isnin media melaporkan JAKIM mengesahkan produk ‘ham and cheese sandwich’ tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dan syarikat yang menghasilkan produk terbabit bukan pemegang SPHM.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, Bahagian Pengurusan Halal Jakim menerima banyak pertanyaan di media sosial berkenaan produk ‘ham and cheese sandwich’ yang diragui status halal.
Menurutnya, Jakim sudah melaksanakan pemeriksaan di lapangan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada Jumaat lalu. – UMNO Online