Tingkatkan Bantuan Untuk PPS Banjir, Mohd Jafni Pastikan Keperluan Dipenuhi
JOHOR BAHRU, 13 Jan – Exco Kerajaan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor bersama beberapa pegawai tinggi kerajaan telah melawat beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di sekitar kawasan yang terjejas akibat banjir.
Dalam lawatan tersebut, Mohd Jafni berkesempatan bertemu dan menyantuni mangsa-mangsa banjir dan mendengar sendiri keperluan mereka termasuk meninjau kemudahan yang disediakan bagi memastikan semua keperluan asas seperti tempat berteduh dan bekalan makanan berada dalam keadaan mencukupi.
“Bagi pihak Kerajaan Negeri Johor di bawah kepimpinan Datuk Onn Hafiz Ghazi, kami komited untuk memastikan kebajikan semua mangsa terjaga. Saya sangat menghargai kerjasama erat semua pihak yang bertungkus-lumus bertugas di lapangan,” katanya.
Mohd Jafni memaklumkan bahawa kerajaan negeri telah mengambil langkah proaktif dengan memastikan keperluan tambahan dilaksana segera.
“Saya telah berbincang dengan Pegawai Daerah, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) dan semua agensi terlibat agar sebarang keperluan tambahan, termasuk khemah dan bekalan makanan tambahan dihantar segera ke PPS yang memerlukan.
“Saya sangat menghargai kerjasama erat antara semua pihak yang terlibat yang kini sedang bertungkus-lumus bertugas di lapangan. Semoga Allah SWT sentiasa memberikan perlindungan kepada kalian semua.
“Marilah kita terus berdoa agar situasi ini segera pulih dan semua mangsa diberikan kekuatan untuk menghadapi dugaan ini. Semoga setiap usaha ini diberkati oleh Allah SWT,” katanya.
Beliau juga menjelaskan bahawa lawatan dan usaha yang dilakukan ini mencerminkan keprihatinan Kerajaan Negeri Johor terhadap kebajikan rakyat, khususnya mereka yang terjejas akibat bencana banjir.
Terdahulu Mohd Jafni telah mengadakan tinjauan dan lawatan di PPS termasuk di Sengkang, PPS Murni Jaya Kulai, PPS SJKC Bukit Batu, PPS Kg Sri Paya dan KG Rahmat Kulai, PPS SK Senai, PPS Kg Jaya Sepakat serta Kg Sepakat Baru Senai.
Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah mangsa banjir di negeri itu meningkat daripada 3,594 orang petang semalam kepada 3,974 orang melibatkan 1,117.
Semua mangsa kini ditempatkan di 38 pusat pemindahan sementara (PPS) yang beroperasi di lima daerah iaitu Johor Bahru, Kulai, Kota Tinggi, Kluang dan Pontian. – UMNO Online