Tahun Ke-3 Kerajaan Perpaduan: UMNO/BN Kekal Komited Laksana Tanggungjawab – Syed Mohd Johan

KUALA LUMPUR, 13 Jan – Memasuki tahun ketiga Kerajaan Perpaduan yang tertubuh pasca-Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, UMNO/Barisan Nasional (BN) dilihat masih kekal komited melaksanakan tanggungjawab untuk membantu kelancaran pentadbiran negara.

Pengarah Komunikasi Strategik UMNO Negeri Kedah, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, dalam tempoh yang akan datang setiap pemimpin dari kesemua parti membentuk Kerajaan Perpaduan mestilah saling menghormati dan tidak bertindak menyalahi etika.

“Sebagai pemimpin UMNO dalam Kerajaan Perpaduan, saya perlu memberi komitmen menyokong perpaduan yang terjalin antara parti membentuk kerajaan ini, asalkan tidak bertentangan dengan syarat-syarat dikemukakan UMNO/BN ketika awal pembentukan dahulu.

“Dalam tempoh ini dan akan datang, setiap pemimpin parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan perlu saling menghormati dan tidak bertindak menyalahi etika, moral atau sengaja mencipta ketegangan politik, sentimen seumpamanya.

“Sehingga hari ini, saya yakin UMNO/BN masih kekal komited melaksanakan tanggungjawab sebagai Kerajaan yang berintegriti dan mengamalkan tatakelola yang digariskan,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Alor Setar berkata, menteri-menteri dari UMNO/BN telah melaksanakan tugas yang baik berdasarkan pengalaman terdahulu.

“Selain itu, Menteri-Menteri UMNO/BN yang dilantik terbukti telah dan sedang melaksanakan tugas dengan baik demi masyarakat serta negara. Komitmen ini akan UMNO teruskan sebagaimana yang ditetapkan pucuk pimpinan BN.

“Memasuki tiga tahun Kerajaan Perpaduan, kita mestilah mula memikirkan ‘coalition’ berdepan pilihan raya. Sudah tiba masanya UMNO/BN dan Pakatan Harapan (PH) duduk semeja untuk membincangkan soal pembahagian kerusi. Kalau perlu bergaduh, disinilah medannya agar satu keputusan berdepan pilihan raya dapat ditentukan.

“Semestinya rakyat mahu melihat jika kerjasama Kerajaan Perpaduan ini dikekalkan di antara 19 parti yang membentuknya berdepan PRU ke-16. Apa yang paling penting, rakyat mahu melihat dan merasai kestabilannya, manfaatnya kepada mereka,” katanya lagi.

Ujarnya, keberadaan UMNO/BN dalam Kerajaan Perpaduan adalah penting supaya kebajikan rakyat khususnya kepentingan Islam terbela.

“Di negeri negeri ditadbir pembangkang juga, usaha perlu dilakukan supaya rakyat dapat merasa dan melihat ada barisan alternatif yang mampu bersaing dengan kerajaan sedia ada. Usaha menyatupadukan ‘coalition’ politik BN-PH mesti diutamakan. Parti-parti juga mesti dilihat menguasai kerajaan supaya kesan dan manfaatnya dirasai rakyat.

“Jika rakyat dapat merasai dan menilai bahawa kerajaan ini baik, pasti ia akan tetap menjadi pilihan. Keberadaan UMNO/BN dalam Kerajaan Perpaduan adalah penting untuk memastikan kita terus bersama di dalam institusi atau agensi bagi menjamin kebajikan rakyat terbela, khususnya berkaitan kepentingan umat Melayu Islam,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut menegaskan bahawa tradisi membantu rakyat yang telah diamalkan oleh UMNO/BN sejak sekian lama tidak akan terhenti meskipun tidak dikurniakan kuasa mahupun jawatan.

“Biarpun ditohmah dan dihina sebelum ini, pemimpin UMNO/BN sama ada di atas atau di peringkat akar umbi tetap berlapang dada serta berjiwa besar untuk terus menyantuni rakyat secara konsisten, tanpa mengira fahaman serta ideologi politik.

“Itu memang amalan tradisi UMNO/BN sejak dulu dan kita tidak akan berhenti membantu masyarakat serta memastikan kebajikan mereka terbela… meskipun tanpa kuasa, jawatan dan hanya dilabel pembangkang di negeri-negeri yang dikuasai Perikatan Nasional (PN),” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit