Santuni Rakyat, Laksana Sumbangan Dekatkan UMNO Dengan Masyarakat – Maizatul Akmam
LAHAD DATU, 13 Jan – Bendahari Wanita UMNO, Datin Maizatul Akmam Alawi, bersama kepimpinan UMNO Bahagian Lahad Datu, telah menyantuni dan menyampaikan sumbangan kepada lebih kurang 20 keluarga asnaf di kawasan Pangsapuri Mutiara Kasih, di sini.
Ujarnya, ini adalah antara inisiatif UMNO yang sentiasa berusaha meneruskan tradisi perjuangan parti membela rakyat dengan melibatkan kunjungan ke rumah penduduk yang uzur, sakit, dan golongan Orang Kurang Upaya (OKU).
Maizatul Akmam yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, berkata program sebegini bukan sahaja memperkukuhkan semangat kesatuan dalam masyarakat tetapi juga sebagai komitmen UMNO terhadap kesejahteraan semua lapisan rakyat.
“Komitmen UMNO Lahad Datu melalui program sebegini membuktikan keprihatinan parti terhadap keperluan rakyat, sekali gus memperkukuhkan hubungan antara parti dan masyarakat setempat,” katanya kepada UMNO Online.
Hadir sama dalam program itu ialah Ketua Wanita Bahagian, Sitti Royani Rafael; Ketua Puteri Bahagian, Normilah Madbaral; Naib Ketua Pemuda Bahagian, Rizal Rafael; serta barisan Ahli Jawatankuasa (AJK) bahagian, AJK sayap Wanita, Pemuda dan Puteri.
Jelas Maizatul Akmam lagi, program kebajikan seperti ini akan terus menjadi agenda utama untuk memastikan tiada golongan yang tercicir daripada perhatian. – UMNO Online