‘Luka Lama Masih Belum Sembuh, Kini Muncul Sandwic Ham Ada Logo Halal’ – Dr Akmal
KUALA LUMPUR, 13 Jan – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menempelak penjualan pek sandwich yang diragui halal di kedai serbaneka KK Mart cawangan Universiti Malaya (UM).
Beliau berkata menambahkan lagi kekesalan apabila pek sandwich tersebut juga mempunyai logo halal.
“Mahasiswa UM sudah buat satu laporan polis kerana dekat dalam UM iaitu KK Mart ada jual satu sandwich yang namanya ham and cheese iaitu ada unsur khinzir dalam tu.
“Sudah la jual ham and cheese di dalam UM rata-ratanya orang Melayu, mungkin untuk anak-anak orang Cina ataupun orang India boleh terima lagi tapi tengok kat belakang tu ada logo halal pulak.
“Saya nak tanya pada KK Mart bila masa ham halal? Bagaimana produk ini dapat logo halal?” soal beliau menerusi hantaran video di Facebook.
Akmal yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin dalam pada itu turut sama menyoal jaminan dalam setiap produk makanan yang dijual di kedai serbaneka tersebut yang mempunyai logo halal.
Menurut beliau isu seperti ini tidak wajar berlaku apatah lagi selepas penjualan stoking yang melukakan perasaan orang Islam.
“KK Mart tahun lepas isu stokin masih lagi kita marah, masih lagi terasa di hati. Kali ini isu ham and cheese dapat logo halal dan dijual dalam KK Mart di dalam UM.
“Bagaimanakah produk-produk yang dalam KK Mart ni kalau dah logo halal apakah jaminan halal ni kalau ham and cheese ni pun dapat logo halal yang lain-lain produk macam mana?
“Laporan polis pun sudah dibuat saya minta pihak polis siasat pihak yang terlibat, tolong ambil tindakan dan kita sebagai orang Islam ini bukan kali yang pertama, ini dah kali yang kedua cukup-cukuplah mereka ni mempersendakan agama kita,” ujar beliau.
Terdahulu pada Sabtu, UM menutup dua premis jualan runcit 24 jam tersebut serta-merta berikutan dakwaan penemuan produk pek sandwich yang diragui halal.
UM dalam satu kenyataan memaklumkan, arahan penutupan tersebut dikeluarkan bagi memberi ruang agar siasatan yang dilaksanakan untuk mengesahkan dakwaan tersebut tidak terganggu. – UMNO Online