Jeffery Nor Tegaskan Komitmen Bela Nasib Rakyat Sabah Berterusan

KOTA KINABALU, 13 Jan – Pengarah Jentera Pilihan Raya Negeri Sabah, Jeffery Nor Mohamed, menegaskan komitmennya untuk terus memberikan sokongan kepada komuniti setempat demi memastikan nasib mereka terbela.

Menerusi program Tadika KEMAS Pulau Gaya sempena Hari Keluarga yang berlangsung di Pantai Tanjung Aru baru-baru ini, beliau menyatakan rasa gembira melihat keceriaan anak-anak kecil bersama ibu bapa mereka.

“Inilah yang terbaik untuk komuniti kita. Saya hadir bukan sahaja untuk menunjukkan sokongan tetapi juga dukungan penuh kepada penduduk kampung agar mereka mendapat pembelaan yang sewajarnya mengikut undang-undang dalam apa-apa juga keadaan,” katanya.

Selepas program tersebut, Jeffery Nor berkesempatan bertemu dengan penduduk Kampung Sembulan Tengah dan Kampung Sembulan Lama secara santai di samping turut beramah mesra dengan beberapa pemimpin setempat.

Beliau menegaskan akan terus berusaha memastikan komuniti tersebut tidak terpinggir dan hak mereka diutamakan dalam pembangunan dan kemajuan.

“Insya-Allah, saya akan terus berdiri bersama penduduk di sini sehingga nasib mereka benar-benar terbela,” tambahnya yang juga Ketua UMNO Bahagian Putatan.

Terdahulu beliau berkesempatan menunaikan solat Zuhor di Masjid Al-Khautar, Kampung Tanjung Aru Lama, dan meneruskan kunjungannya ke Gelanggang Futsal UTC Sembulan.

Ujar Jeffery Nor, pelbagai program dan gerakan turun ke lapangan adalah antara bukti dedikasi UMNO dalam membina hubungan erat dengan masyarakat dan memperjuangkan hak rakyat Sabah secara inklusif. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit