Jangan Sekadar Main Wayang, PN Dicabar Buat Kenyataan Sokong Pengampunan Penuh Untuk Najib – Ghulam

KUALA LUMPUR, 13 Jan – Perikatan Nasional (PN) dicabar untuk melakukan kenyataan menyokong bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk diberikan pengampunan penuh, kata Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, Ghulam Muzaffar Ghulam Mustakim.

Respon tersebut dinyatakan Ghulam kerana kehadiran mereka di Istana Kehakiman pada Isnin lalu kononnya untuk bersolidiriti kepada Najib namun menurutnya lebih dilihat sebagai wayang politik.

Menurutnya perkara tersebut terbukti apabila sehingga kini tiada dalam kalangan pemimpin mereka yang memberikan respon daripada keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan Najib berjaya mendapat kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman.

“Kita jangan tergigit, jangan termakan, jangan terbuai dengan agenda pihak pembangkang kalau kita tengok, selepas keputusan Najib yang kita tahu menang di Mahkamah Rayuan tak ada pun kenyataan daripada parti pembangkang yang syukur.

“Jadinya tak perlu terikat dengan game plan mereka. Saya cabar kalau mereka betul-betul ikhlas sepatutnya membuat satu ketetapan dan buat kenyataan untuk Datuk Seri Najib mendapat pengampunan penuh… saya cabarlah kalau betul ikhlas.

“Tetapi sekarang ni yang hanya minta pengampunan penuh hanyalah datang daripada UMNO. Mana suara daripada Pas/PPBM untuk mendapatkan pengampunan penuh? Kalau mereka betul-betul ikhlas seperti dikata pada 6 Jan turun ke mahkamah, menunjukkan kononnya solidariti bersama dengan Bosku.

“Kali ini mereka kena buat satu kenyataan setuju supaya Datuk Seri Najib diberikan pengampunan penuh kerana telah dianiaya dan pengadilan tidak dijalankan secara adil. Ini sepatutnya yang kita nak tengok. Kalau mereka berani tak nak bermain politik tentang isu adendum ini,” katanya ketika ditemui UMNO Online.

Ghulam Muzaffar yang juga Ketua UMNO Bahagian Batu dalam pada itu berkata ahli UMNO untuk tidak terbuai dengan agenda PN yang menggunakan isu Titah Adendum Najib dalam meraih kepentingan politik.

Menurut beliau, mereka sebaliknya menggunakan peluang ini untuk mengganggu gugat kestabilan dalam kerajaan dengan menjadikan hubungan dalam kalangan ahli UMNO dan Kerajaan Perpaduan menjadi tegang sekaligus membuka ruang kepada untuk membentuk kerajaan baharu.

“Saya nampak mereka menggunakan isu ini untuk menjadikan hubungan antara ahli-ahli UMNO tegang yang mana kita tengok ada pandangan berbeza daripada ahli-ahli UMNO dan mangsanya adalah pucuk pimpinan.

“Mereka juga cuba untuk menggunakan isu ini juga untuk mendapat sedikit peluang dan ruang keluarkan UMNO/Barisan Nasional (BN) daripada Kerajaan Perpaduan dan apabila tindakan itu berlaku mereka akan mengambil peluang untuk menjadi hero untuk tubuhkan kerajaan yang baru bersama dengan UMNO/BN dan juga mungkin sekutu-sekutu yang lain,” ujar beliau.

Terdahulu, pada Isnin Najib berjaya mendapat kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum Januari tahun lalu.

Keputusan berkenaan dicapai melalui penghakiman majoriti 2-1 oleh Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril, dengan Hakim Datuk Azizah Nawawi memberikan keputusan berbeza.

Penghakiman majoriti itu juga membenarkan permohonan Najib untuk mengemukakan bukti tambahan iaitu surat daripada Majlis Kesultanan Pahang kepada anaknya, Mohamad Nizar yang mengesahkan kewujudan Titah Adendum, bagi menyokong permohonan semakan kehakimannya itu. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit