Ahmad Zahid Rakam Takziah, Seriwani Meninggal Dunia Pagi Ini
KUALA LUMPUR, 13 Jan – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama kepimpinan dan ahli-ahli UMNO mengucapkan takziah kepada keluarga Ketua Wanita UMNO Bahagian Setiawangsa, Allahyarhamah Seriwani Sabtu yang meninggal dunia pagi ini.
Difahamkan Allahyarhamah Seriwani meninggal dunia di Hospital Sultan Abdul Aziz Shah, UPM, sekitar jam 8.00 pagi tadi.
Menerus hantaran dalam laman Facebooknya, Ahmad Zahid berkongsi rasa sedih apabila menerima khabar tersebut.
“Pagi ini, saya merasa hiba dan sedih menerima khabar duka kehilangan seorang pegawai yang amat komited dan berdedikasi dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawabnya. Allahyarhamah Seriwani Sabtu, Pegawai Tugas-Tugas Khas saya di KKDW yang juga merupakan Ketua Wanita UMNO Bahagian Setiawangsa. Satu kehilangan besar bagi kita semua.
“Dalam kunjungan terakhir saya pada Sabtu lalu, saya dapat melihat betapa tabah dan cekalnya beliau menghadapi ujian kesakitan yang dialami. Namun, Allah SWT lebih menyayangi beliau.
“Saya berdoa semoga Allah SWT mencurahkan rahmat, maghfirah dan kasih sayang-Nya kepada Allahyarhamah, serta menempatkannya dalam kalangan insan solehah yang beroleh jannah.Salam takziah juga saya ucapkan kepada seluruh ahli keluarga. Semoga mereka diberikan kesabaran dan ketabahan dalam menghadapi ujian ini,” katanya lagi. – UMNO Online