UMNO Telah Berjuang Bersungguh-Sungguh Demi Keadilan Najib – Penganalisis

KUALA LUMPUR, 12 Jan – UMNO telah berjuang bersungguh-sungguh untuk mendapatkan keadilan terhadap bekas Perdana Menteri dan Presiden parti, Datuk Seri Najib Razak.

Penganalisis politik dari Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Profesor Dr Azmi Hassan berkata, afidavit yang telah difailkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail turut memperlihatkan hal sama.

“Menerusi keputusan Mahkamah Rayuan dan apa yang berlaku sebelum ini terutamanya surat dari Istana Pahang mempamerkan bahawa UMNO telah bersungguh-sungguh dalam mendapat keadilan terhadap Datuk Seri Najib Razak.

“Umpamanya dari segi afidavit Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang ingin membuktikan bahawa adendum itu wujud juga telah mempamerkan bahawa pejuang parti bersungguh-sungguh dalam menyelesaikan isu ini.

“Ini kerana terdapat tuduhan bahawa UMNO bersekongkol dengan kerajaan yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Telah terbukti bahawa Datuk Seri Anwar melalui kerajaan tidak menyimpan atau menyorok adendum tersebut,” katanya kepada UMNO Online.

Menurutnya, adendum tersebut sememangnya wujud dan UMNO telah melakukan segala-galanya untuk membuktikan kewujudannya bagi memberi keadilan sewajarnya kepada Najib.

”Kalau kita lihat kenyataan Menteri Dalam Negeri, beliau mengatakan bahawa adendum itu tidak termasuk dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan. Ini menunjukkan bahawa adendum itu wujud tetapi berada di tempat yang sukar untuk disorok supaya dapat dihebahkan ‘original copy’.

“Jadi, dalam hal UMNO… UMNO telah melakukan segala-galanya untuk mendapatkan adendum tersebut demi keadilan Datuk Seri Najib dalam hal ini. Ia telah dibuktikan dalam keputusan Mahkamah Rayuan pada Isnin,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut menyatakan sokongan terhadap usaha UMNO untuk mendapatkan pengampunan penuh terhadap Najib yang telah terbukti banyak menabur jasa ketika mentadbir negara.

“Seterusnya UMNO menyatakan akan memohon pengampunan penuh untuk Datuk Seri Najib dan sekiranya diteruskan juga, ia bergantung kepada Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

“Saya melihat ini adalah satu perkembangan dan manfaat positif yang telah diperolehi oleh UMNO. UMNO menggunakan mandat positif ini untuk meneruskan pengampunan penuh, bukan lagi setakat tahanan rumah lagi. Namun, keputusannya bergantung kepada Yang di-Pertuan Agong seperti yang dikatakan oleh Baginda… kuasanya adalah prerogatif.

“Jadi dalam hal ini, saya menyokong bahawa bukan setakat tahanan rumah sahaja UMNO perlu berhenti… tetapi meneruskan perjuangan mereka untuk mendapat keadilan sebagai pengampunan penuh kepada Datuk Seri Najib Razak,” katanya lagi.

Pada Isnin media melaporkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berjaya mendapat kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah untuk memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum.

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Azizah Nawawi yang bersidang bersama Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril dengan majoriti 2-1, membenarkan rayuan Najib, 72, untuk mendapatkan kebenaran itu.

Ketika membaca keputusan terbabit, Mohd Firuz berkata, mahkamah memerintahkan supaya kes terbabit diremitkan atau dikembalikan ke Mahkamah Tinggi supaya merit semakan kehakiman ini diputuskan. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit