Asna Amin Tekad Gerakkan Agenda Ekonomi Demi Kemakmuran Negeri Sembilan

SEREMBAN, 11 Jan – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin, menerima pelantikan sebagai Ahli Jawatankuasa Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan (BPUNS) serta Pengerusi Biro Ekonomi UMNO Negeri Sembilan dalam mesyuarat pertama BPUNS baru-baru ini.

Menurut beliau, pelantikan ini adalah satu langkah penting dalam memperkukuh organisasi parti dan mempergiatkan usaha untuk memperkasakan ekonomi negeri.

Dalam hal ini, beliau menyatakan penghargaan terhadap Pengerusi BPUNS, Datuk Seri Jalaluddin Alias, yang memberikan kepercayaan besar untuk beliau memikul amanah tersebut.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pengerusi BPUNS, Datuk Seri Jalaluddin Alias, atas pelantikan ini. Ini adalah tanggungjawab besar yang akan saya galas dengan penuh dedikasi dan komitmen.

“Sebagai Pengerusi Biro Ekonomi, saya bertekad untuk menggerakkan agenda ekonomi yang lebih berkesan untuk memacu kemakmuran rakyat Negeri Sembilan.

“Saya akan bekerja keras untuk memastikan setiap inisiatif ekonomi yang digerakkan oleh UMNO Negeri Sembilan akan memberi impak positif kepada rakyat dan negeri ini. Kita perlu bersedia menghadapi cabaran ekonomi semasa dan berusaha membawa Negeri Sembilan ke arah pembangunan yang lebih mampan,” katanya kepada UMNO Online.

Asna yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Seremban berkata langkah ini turut memberi fokus kepada aspek ekonomi yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat.

“Pelantikan ini dilihat sebagai satu langkah strategik dalam mengukuhkan posisi UMNO Negeri Sembilan, di samping memberi penekanan yang lebih besar kepada aspek ekonomi yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat.

“Fokus utama adalah untuk memastikan pembangunan ekonomi yang lebih inklusif dan memberi kesan positif kepada penduduk di Negeri Sembilan seterusnya dapat memperkukuhkan sokongan rakyat terhadap UMNO di Negeri Sembilan, seterusnya memperbaiki kesejahteraan ekonomi rakyat di peringkat negeri,” katanya lagi.

Terdahulu, Pengerusi BPUNS Datuk Seri Jalaluddin Alias telah mengadakan mesyuarat pertama bagi tahun 2025 yang bertujuan agar UMNO Negeri Sembilan akan terus mengorak langkah ke depan dengan pelbagai rancangan.

Semangat ukhuwah serta jalinan muafakat antara satu sama lain terus diperkukuhkan bagi memastikan apa yang dihasratkan bukan sahaja dapat direalisasikan malah dapat dirasai oleh rakyat Negeri Sembilan. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit