UMNO Akan Terus Mohon Ihsan Pengampunan Penuh Najib – Dr Asyraf
KUALA LUMPUR, 10 Jan – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata parti itu akan terus memohon ihsan dan perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk memberikan pengampunan penuh kepada Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, selaras dengan kuasa prerogatif di bawah Perkara 42 (1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.
Pada masa yang sama beliau turut berkata parti itu turut melahirkan rasa syukur dan menghormati keputusan Mahkamah Rayuan berhubung kewujudan titah Adendum dan penuh yakin Mahkamah Tinggi akan bertindak bebas dan adil.
“UMNO merakamkan rasa syukur dan menghormati keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan permohonan Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mengesahkan kewujudan Titah Adendum.
“UMNO yakin bahawa Mahkamah Tinggi akan bertindak bebas dan adil untuk menilai keabsahan kewujudan Titah Adendum tersebut. Menteri-Menteri yang mewakili UMNO juga bersedia untuk memberi kerjasama kepada Mahkamah Tinggi kelak jika diperlukan untuk memberikan keterangan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO,di sini hari ini.
Dr Asyraf seterusnya menambah UMNO selaku satu-satunya parti yang termaktub di dalam Perlembagaan partinya untuk mempertahankan Institusi Raja-Raja Melayu akan sentiasa meletakkan keutamaan dan penghormatan tertinggi Kebawah DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. – UMNO Online