Memasuki Tahun Ke-3… Kerajaan Perpaduan Perlu Ganda Usaha, Perkukuh Hubungan Antara Parti – Mu’izz

KUALA LUMPUR, 10 Jan – Kerajaan Perpaduan perlu menggandakan usaha untuk memperkukuhkan hubungan antara parti, lebih-lebih lagi apabila kerjasama tersebut sudah hampir menjangkau tiga tahun pada 2025 ini.

Ketua Penerangan UMNO Bahagian Segambut, Mu’izz Nasruddin berkata, keberadaan UMNO/Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Perpaduan menjadi salah satu cara untuk parti ini terus berjuang bagi membela nasib rakyat.

“Keberadaan UMNO/BN dalam Kerajaan Perpaduan memasuki tahun ketiga ini, memberikan kita satu platform yang kukuh untuk terus berjuang demi rakyat dan negara.

“Kita tidak boleh menafikan hakikat bahawa Kerajaan Perpaduan ini adalah realiti yang harus kita terima dan kita perlu bergerak ke hadapan dengan semangat perpaduan lebih kuat.

“Kerjasama di antara semua parti dalam kerajaan ini bukan hanya satu pilihan, tetapi suatu kewajipan yang perlu kita laksanakan demi kepentingan rakyat. Kita harus menggandakan usaha untuk memperkukuhkan hubungan antara parti-parti yang terlibat supaya kebajikan rakyat terutamanya orang Melayu, terus menjadi keutamaan,” katanya kepada UMNO Online.

Menurutnya, tanggungjawab UMNO/BN dalam Kerajaan Perpaduan adalah untuk menjaga kebajikan rakyat bagi membentuk sebuah negara yang harmoni.

“Kita perlu pastikan bahawa ekonomi negara terus berkembang, bahawa peluang pekerjaan dan kesejahteraan rakyat menjadi fokus utama dalam setiap tindakan kita.
Kita bukan sekadar berjuang untuk kemenangan politik semata-mata, tetapi untuk masa depan negara yang lebih baik dan rakyat yang lebih sejahtera.

“Dalam Kerajaan Perpaduan ini, UMNO/BN berada dalam beberapa institusi dan agensi yang dapat memastikan kebajikan rakyat terus terjaga. Tanggungjawab kita adalah untuk menggunakan peluang ini sebaik mungkin, bekerja bersama-sama bagi membentuk negara yang lebih maju dan harmoni,” katanya.

Ujarnya, untuk menjaga kerjasama yang dibina dalam Kerajaan Perpaduan ini, semua pihak perlu mengelakkan diri daripada pertelingkahan tidak berfaedah dan berbincang secara tertutup sekiranya terdapat sebarang permasalahan.

“Namun, saya ingin memberi sedikit teguran, kita tidak boleh terjebak dalam pertelingkahan yang tidak memberi faedah. Jika ada perbezaan pendapat, kita perlu berbincang secara tertutup, bukan di khalayak umum.

“Kritikan terbuka sesama kita hanya akan melemahkan perpaduan yang telah dibina. Kita tidak boleh membenarkan perbezaan politik menggugat matlamat utama yang lebih besar iaitu kepentingan rakyat dan negara.

“Biarlah kita berhenti berperang mulut dan mulakan dengan kerja keras untuk menyatukan hati serta minda dalam satu perjuangan yang lebih besar,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut menyeru semua pihak yang berada dalam Kerajaan Perpaduan untuk terus mengeratkan hubungan agar tujuan bagi membina negara dapat dijayakan.

“Kepada rakan-rakan parti politik di dalam Kerajaan Perpaduan, saya menyeru kepada kita semua untuk berhenti daripada segala bentuk perbalahan yang tidak memberi faedah di hadapan umum.

“Apa jua perbezaan pendapat, mari kita selesaikan secara dalaman. Fokus kita sekarang adalah pada kerjasama strategik dalam kerajaan perpaduan ini, demi negara kita tercinta.

“Jangan sekali-kali kita melangkaui batas dan menghormati setiap keputusan yang dibuat oleh parti politik lain. Marilah kita eratkan hubungan ini, supaya kita dapat bersama-sama membina negara yang lebih kukuh, lebih berjaya,” katanya lagi.

Kerajaan Perpaduan yang ditubuhkan pasca-Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu telah mencapai usia dua tahun pada November 2022 selepas tiada satu parti pun mendapat kemenangan majoriti.

Atas kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, UMNO/BN dan Pakatan Harapan (PH) mengenepikan segala sengketa berabad untuk membentuk kerajaan selepas Perikatan Nasional (BN) dengan angkuh menolak tawaran tersebut.

Untuk rekod, UMNO/BN telah diberikan amanah untuk mengemudi enam kementerian iaitu KKDW; Undang-Undang dan Reformasi Institusi; Luar Negeri; Pertahanan; Perladangan dan Komoditi serta Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit