Hubungan Antarabangsa: Mohamed Khaled Tegaskan Pendirian Malaysia Kekal Neutral

KUALA LUMPUR, 10 Jan – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan bahawa pendirian Malaysia kekal neutral dalam hubungan antarabangsa.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO menerusi hantaran di laman Facebooknya memaklumkan bahawa pelbagai perkara telah dikupas sepanjang Forum Ekonomi Malaysia (FEM) 2025 pada Khamis.

“Menjadi salah seorang panelis semasa FEM 2025. Topik perbincangan adalah berkenaan ‘ASEAN Dynamism: Capitalising on Opportunities & Navigating Transitions’.

“Ruang ini telah saya gunakan untuk berkongsi perspektif Kerajaan secara amnya dan Kementerian Pertahanan secara khususnya berkenaan ASEAN.

“Pelbagai perkara telah diulas dan dikupas. Antaranya, peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, cabaran di Laut China Selatan, peranan yang boleh dimainkan melalui ASEAN, dasar luar negara dan penyertaan dalam BRICS,” katanya.

Menurutnya, Malaysia memegang pendirian untuk kekal mempertahankan kedaulatan negara dan menggunakan ruang diplomasi dalam soal tuntutan bertindih dengan negara-negara luar.

“Saya telah tegaskan bahawa pendirian Malaysia untuk kekal neutral dalam hubungan antarabangsa. Kita berhasrat untuk bersahabat dengan mana-mana negara yang sehaluan dan tiada peralihan ke arah ‘berpihak’ dalam politik global.

“Dalam soal tuntutan bertindih dengan mana-mana negara, pendirian negara kekal untuk mempertahankan kedaulatan kita. Malaysia akan sentiasa menggunakan ruang diplomasi, termasuklah melalui ASEAN bagi menangani cabaran-cabaran seumpama ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau beranggapan bahawa Malaysia dan negara-negara di Asia Tenggara perlu memanfaatkan keunikan demografi serta mengambil pendekatan global dalam pembentukan dasar.

“FEM menjadi ruang perbincangan berkenaan hala tuju dan masa depan ekonomi negara, di samping menilai kembali dasar yang telah dilaksana.

“Dalam iklim ekonomi dunia yang semakin mencabar, Malaysia dan negara-negara di Asia Tenggara perlu memanfaatkan keunikan demografi serta mengambil pendekatan global dalam pembentukan dasar.

“Lebih-lebih lagi Asia Tenggara mempunyai populasi seramai 655 juta orang dan dijangka menjadi ekonomi ke-4 terbesar di dunia. Kesemua ini, bagi memastikan kemajuan yang berterusan dan mampan di rantau ini,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit