Hasut Rakyat Isu Titah Adendum: Satu Laporan Polis Dibuat Ke Atas Khairy Jamaluddin
KUALA LUMPUR, 10 Jan – Satu laporan polis telah dibuat ke atas Khairy Jamaluddin yang bertindak mengeluarkan kenyataan kononnya pihak kerajaan bersekongkol menyembunyikan Titah Adendum mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Setiausaha Politik Kepada Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Suraya Yaakob berkata, kenyataan tersebut adalah tidak benar dan memburukkan imej Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi.
“Kenyataan yang dilakukan oleh Khairy Jamaluddin adalah tidak benar dan memburukkan imej Menteri Kabinet iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi).
“Perkara ini juga mengelirukan rakyat dan menimbulkan menimbulkan suasana panik dalam kalangan masyarakat sehingga boleh menggugat keamanan negara.
“Malah penggunaan perkataan ‘complicit’ adalah keterlaluan kerana ia membawa maksud terlibat atau dikaitkan dengan perbuatan yang menyalahi undang-undang mahupun tidak beretika,” katanya.
Menurutnya, kenyataan Khairy Jamaluddin itu turut membayangkan secara sedar telah membantu, menyokong atau membenarkan perbuatan menyalahi undang-undang tersebut berlaku.
“Tambahan lagi, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang dalam kenyataan pada 10 Januari 2025 turut mengesahkan bahawa Menteri di JPM (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) bukan ahli Lembaga Pengampunan mahupun terlibat dengan apa-apa urusan pentadbiran atau pengurusannya termasuk apa-apa perkara lain berkaitan pengampunan mana-mana banduan.
“Titah Adendum hanya merupakan khabar angin (hearsay) kerana pembuat dokumen tidak membuat sebarang kenyataan sehinggalah Istana Pahang mengeluarkan surat pengesahan bertarikh 4 Januari 2025,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau memohon agar pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap Khairy Jamaluddin di bahawa seksyen 499 Kanun Keseksaan (Akta 574) atas kesalahan fitnah jenayah terhadap menteri kabinet.
“Dengan itu, saya memohon supaya siasatan dapat dijalankan terhadap Khairy Jamaluddin secara keseluruhannya berniat jahat di bawah seksyen 499 Kanun Keseksaan (Akta 574) atas kesalahan fitnah jenayah terhadap Menteri Kabinet dan menghina reputasi serta nama baik Menteri Kabinet.
“… seksyen 124 Kanun Keseksaan (Akta 574) atas kesalahan penyebaran maklumat palsu yang mengganggu ketenteraman awam serta seksyen 233 Akta Komunikasi dan Mulimedia 1998 (Akta 588) atas kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian aplikasi Instagram untuk menyebarkan maklumat palsu, khususnya, atau mana-mana undang-undang sedia ada yang terpakai,” katanya lagi.
Pada Jumaat media melaporkan Khairy Jamaluddin mendakwa terdapat krisis kepercayaan terhadap bekas partinya UMNO susulan isu Titah Adendum yang melibatkan Najib Razak.
Khairy menuduh Azalina bersubahat menyembunyikan dokumen tambahan yang membenarkan Najib menghabiskan hukuman pemenjaraannya dengan menjalani tahanan di rumah. – UMNO Online