UMNO Negeri Sembilan Akan Terus Berkhidmat Demi Rakyat – Jalaluddin
SEREMBAN, 9 Jan – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata UMNO negeri berkenaan akan terus mengorak langkah ke depan dengan pelbagai perancangan serta pelaksanaan dalam usaha menabur bakti di negeri tersebut.
Menurut beliau semangat ukhuwah serta jalinan muafakat antara satu sama lain terus diperkukuhkan bagi memastikan apa yang dihasratkan bukan sahaja dapat direalisasikan malah dapat dirasai oleh rakyat Negeri Sembilan.
“Alhamdulillah, selesai mesyuarat pertama Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan (BPUNS) di tahun 2025. Di hari kelapan tahun 2025, semua Ahli BPUNS diberi titipan agenda untuk sama-sama kita fokus tanpa bertangguh lagi.
“Hasrat UMNO Negeri Sembilan adalah mahu terus menabur bakti dan keringat bagi menjadikan kehidupan rakyat negeri ini bertambah baik berbanding sebelumnya,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat UMNO Negeri Sembilan di sini.
Katanya lagi, tahun 2025 adalah masa dimana gerak kerja parti pada tahap pecutan yang lebih deras, agar rakyat dan ahli merasai sentuhan khidmat yang dilaksanakan kelak.
“Ayuh ahli-ahli parti, kita terus memperkukuhkan ukhuwah atas tunjang perjuangan yang kalis cabaran. Semoga fokus yang digariskan untuk tahun 2025 dapat direalisasikan dengan baik, Insya-Allah.” ujarnya.
Pada mesyuarat berkenaan, UMNO Negeri Sembilan turut melantik ADUN Lenggeng, Datuk Haji Md Asna Amin sebagai Ahli Jawatankuasa BPUNS merangkap Pengerusi Biro Ekonomi. – UMNO Online