UMNO/BN Terus Jadi Barisan Hadapan Menjaga Kebajikan Rakyat – Muhamad Khizri
MERBOK, 9 Jan – UMNO/Barisan Nasional (BN) terus membuktikan komitmennya sebagai parti yang mendahulukan kebajikan rakyat, terutama ketika menghadapi bencana.
Ketua UMNO Bahagian Sik, Datuk Muhamad Khizri Abu Kassim berkata dalam setiap kejadian, ahli-ahli parti dilihat sentiasa menjadi antara pihak pertama tiba di lokasi untuk memberikan bantuan dan menggunakan jentera yang tersedia bagi memastikan kebajikan rakyat terpelihara.
Katanya, usaha membantu rakyat bukan hanya ketika musim banjir, tetapi dalam pelbagai situasi kecemasan lain dengan menyalurkan bantuan termasuk pengagihan barangan keperluan, kerja-kerja menyelamat dan sokongan moral kepada mangsa bencana.
“Apa saja bencana yang berlaku UMNO/BN sentiasa ke hadapan membantu rakyat. Ahli parti akan sampai dulu, beri bantuan dengan jentera yang ada untuk menyampaikan mesej bahawa parti ini dengan rakyat ‘berpisah tiada’ terutamanya dalam aspek kebajikan.
“Komitmen UMNO adalah bukti kukuh bahawa hubungan antara parti dan rakyat adalah ‘berpisah tiada’, khususnya dalam aspek kebajikan. Hal ini telah menjadi sebahagian daripada budaya dan identiti sejak penubuhannya.
“Usaha sebegini mendapat pujian daripada pelbagai pihak, terutamanya masyarakat yang menerima manfaat langsung daripada bantuan yang disalurkan. Ia menunjukkan bahawa peranan UMNO/BN melangkaui sekadar politik, tetapi juga sebagai institusi yang peduli dan prihatin terhadap keperluan rakyat Malaysia,” katanya kepada UMNO Online, di sini.
Muhamad Khizri menegaskan keperluan untuk mengubah cara pendekatan lama bagi memastikan maklumat sampai kepada semua pihak, termasuk mangsa bencana dan ahli keluarga mereka yang tidak berada di tempat kejadian.
“Kita kena ubah cara pendekatan lama supaya info itu sampai kepada mangsa-mangsa dan anak-anak mangsa yang tidak berada di tempat kejadian,” katanya lagi.
Beliau menambah walaupun mangsa bencana mengetahui bantuan diberikan oleh UMNO/BN, anak-anak mereka yang berada di luar lokasi kejadian sering tidak menyedari usaha parti tersebut dalam membantu keluarga mereka.
“Kita kena ada acara tersendiri dan baharu untuk menyampaikan info supaya anak-anak mangsa bencana tersebut tahu bahawa UMNO/BN yang selama ini membantu ketika musim musibah dan kecelakaan yang berlaku,” ujar beliau.
Beliau turut menekankan perlunya pendekatan lebih inovatif bagi memastikan mesej sampai kepada semua pihak, termasuk generasi muda. – UMNO Online