Titah Adendum: Jangan Ada Pihak Cuba Putar Belit Fakta, ‘Menumpang’ Usaha UMNO – Azhar
KUALA LUMPUR, 9 Jan – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Mersing, Azhar Zainal Abidin mengingatkan mana-mana pihak untuk tidak memutarbelitkan fakta dan cuba ‘menumpang’ usaha dibuat UMNO bagi membela mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Tegasnya, keputusan Mahkamah Rayuan pada Isnin telah membuktikan bahawa afidavit yang dikemukakan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Datuk Mohd Nizar Najib adalah benar sama sekali.
“Keputusan Mahkamah Rayuan pada 6 Januari lalu telah memihak kepada mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Ini membuktikan bahawa afidavit yang telah dikemukakan adalah benar sama sekali. Titah Adendum yang didakwa wujud itu telah dibuktikan di mahkamah.
“Usaha yang telah dimulakan oleh Datuk Seri Presiden ini membuktikan semangat setiakawan beliau terhadap sahabat seperjuangan meskipun ia boleh memberikan impak dan risiko terhadap diri serta parti.
“Justeru, jangan pula selepas ini ada pihak yang cuba memutarbelitkan fakta dan mengaku seolah-olah merekalah yang berusaha membantu Datuk Seri Najib sedangkan mereka tidak pun berbuat apa-apa. Malah mereka jugalah antara yang kuat bersorak sewaktu beliau dipenjarakan dahulu,” katanya kepada UMNO Online.
Ujarnya, usaha UMNO dalam mendapatkan pembelaan sewajarnya terhadap Najib sentiasa diteruskan dan tidak akan pernah terhenti, mengenangkan jasa yang telah ditaburkan beliau ketika mentadbir negara selama dua penggal.
“UMNO sentiasa akan berusaha agar Datuk Seri Najib mendapatkan pembelaan sewajarnya memandangkan semasa perbicaraan beliau dilihat seperti teraniaya. Usaha ini tidak pernah terhenti meskipun UMNO/Barisan Nasional (BN) sudah menjadi kerajaan.
“Terlalu banyak jasa yang telah ditaburkan oleh beliau sehingga membuatkan rakyat merindui sosok tersebut. Termasuklah kami yang berada di dalam parti ini. Kita tidak boleh mencampuri urusan mahkamah namun inilah yang hanya mampu dilakukan.
“Saya mendoakan agar Datuk Seri Najib diberikan kesihatan berpanjangan dan diberikan keadilan dalam perbicaraan. Saya juga ingin menyeru pemimpin, ahli dan penyokong parti untuk tetap teguh memegang tali perjuangan ini,” katanya lagi.
Pada Isnin media melaporkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berjaya mendapat kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah untuk memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum.
Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Azizah Nawawi yang bersidang bersama Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril dengan majoriti 2-1, membenarkan rayuan Najib, 72, untuk mendapatkan kebenaran itu.
Ketika membaca keputusan terbabit, Mohd Firuz berkata, mahkamah memerintahkan supaya kes terbabit diremitkan atau dikembalikan ke Mahkamah Tinggi supaya merit semakan kehakiman ini diputuskan. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman